PEMAIN import TFC, Tchetche Kipre terjatuh diasak  pemain lawan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam. FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN import TFC, Tchetche Kipre terjatuh diasak pemain lawan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU. Belum panas lagi. Itu rumusan buat Terengganu FC (TFC) bimbingan Irfan Bakti Abu Salim selepas anak buahnya gagal mencatat kemenangan pada aksi pertama Liga Super bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Pada perlawanan berkesudahan 1-1 itu, deretan peluang yang sepatutnya diterjemahkan dengan jaringan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin pemain TFC yang mendominasi permainan.

"Pada babak pertama kami menguasai perlawanan dan mempunyai banyak peluang terhidang tapi pemain tidak dapat menjaringkan gol, begitu juga peluang pada babak kedua yang berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

"Berdasarkan deretan peluang itu, ada tujuh peluang terbaik berbanding lawan hanya ada dua saja peluang keemasan, tapi mereka berjaya menghasilkan jaringan.

“Namun saya tidak boleh salahkan mana-mana pemain, cuma penjaga gol harus dapat menyelamatkan jaringan lawan itu. Bagaimanapun, penjaga gol kami sudah beraksi cemerlang malam ini," kata Irfan.

Pada perlawanan semalam, pelawat terlebih dahulu menggegar gawang tuan rumah melalui tandukan Nicholas Ryan Swirad sebelum penyerang lincah TFC, Malik Mat Ariff meledak gol penyamaan pada minit terakhir permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 11:27 AM