TUCK meledak menerusi sepakan penalti pada aksi Liga Super menentang Perak di Kuala Terengganu, malam tadi. — FOTO Imran Makhzan
TUCK meledak menerusi sepakan penalti pada aksi Liga Super menentang Perak di Kuala Terengganu, malam tadi. — FOTO Imran Makhzan
Malik Muhamad


JURULATIH Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim kurang senang jika ada yang berpendapat gol penyamaan skuadnya malam tadi ketika seri 1-1 dengan juara Piala Malaysia musim lalu, Perak adalah gol nasib.

Sebaliknya beliau menyatakan gol penyamaan melalui sepakan penalti pada minit terakhir adalah hasil usaha keras pemainnya yang tidak mengenal erti penat lelah.

“Dalam sukan bola sepak ni... gol tetap gol walau apa cara sekalipun, jaringan penalti yang kami peroleh itu bukannya gol nasib, bagi kami gol itu juga bukan ‘gol betina’.

“Jaringan itu hasil usaha keras dan sikap tidak putus asa pemain untuk menyamakan kedudukan dan ini sikap baik yang harus ada dalam diri setiap pemain biarpun hampir kecundang,” kata Irfan.

Pada aksi itu, skuad Penyu yang mendominasi babak kedua dikejutkan jaringan pendahuluan skuad The Bos Gaurus, Wander Luiz pada minit ke-71.

Bagaimanapun, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Razlan Joffri Ali pada minit ke-90 dan Lee Tuck mudah menyempurnakan tugas diberikan kepadanya.

Irfan yang ada ketikanya dilihat berang dan kerap berdiri di bangku simpanan mengakui kecewa selepas anak buahnya gagal menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan.

“Aksi malam ini (malam tadi) berbeza pada babak pertama dan kedua, pada separuh masa pertama aksi pemain terlampau longgar kerana pemain tengah, Sanjar (Shaakmedov) terlalu cepat ke depan menyebabkan kekosongan berlaku di posisi itu berbanding lawan.

“Pada babak kedua, kami ubah strategi untuk menguasai bahagian tengah bagi mengelak lawan yang mempunyai kelebihan dari segi ketinggian supaya tidak cepat mencipta peluang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 12:32 PM