Pemain THT, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (kanan) diasak oleh pemain pasukan TNB dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB MHL 2019 kelmarin.
Pemain THT, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (kanan) diasak oleh pemain pasukan TNB dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB MHL 2019 kelmarin.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: "Kami tiada pilihan lain selain perlu menang baki perlawanan selepas ini."

Demikian 'syarat' diletakkan ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), I Vikneswaran sekiranya barisan pemainnya mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia.

Ini kerana, kedudukan THT mempertahankan kejuaraan liga dilihat terjejas selepas tewas 2-3 kepada TNB, Ahad lalu sekali gus menyaksikan mereka menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 10 mata.

Bagaimanapun Vikneswaran tetap optimis peluang mempertahankan kejuaraan liga masih terbuka luas.

"Berdasarkan perkiraan matematik saya fikir kami masih boleh memenangi saingan liga. Cuma kami tidak boleh lagi mencicirkan mata.

"Untuk saya yang penting bukanlah terlalu memikirkan lawan kami tetapi bagaimana pemain dapat mengawal situasi ketika berlangsung perlawanan.

"Maksud saya bagaimana pemain dapat mengawal daripada melakukan banyak kesilapan yang pada akhirnya akan menghukum kita," katanya.

Vikneswaran memberi contoh beberapa kesilapan dilakukan barisan pemainnya ketika tewas kepada TNB yang akhirnya meranapkan impian mereka untuk meraih tiga mata penuh.

"Saya rasa ketika ini barisan pertahanan kami agak cuai yang membolehkan TNB menjaringkan gol.

"Daripada segi permainan dan penguasaan bola saya cukup berpuas hati. Begitu juga barisan pemain import yang setakat ini tidak mengecewakan.

"Kami perlu kembali mengutip tiga mata penuh apabila bertemu UiTM Jumaat ini,"

   

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:26 PM