PEMAIN TNB meraikan kemenangannya selepas mengalahkan THT. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
PEMAIN TNB meraikan kemenangannya selepas mengalahkan THT. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Skuad berstatus elit, Pasukan Hoki Terengganu (THT) mula terasa bahang kekalahan selepas rekod tanpa tewas sejak empat perlawanan lebur di tangan TNB (Tenaga Nasional Berhad) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang semalam.

Kekalahan itu menyukarkan lagi impian juara bertahan LHM berkenaan untuk mempertahankan gelaran musim ini, kerana wajib menang dalam semua perlawanan selepas ini. 

Pada aksi semalam, kehadiran enam pemain import bertaraf dunia, selain pemain kebangsaan berbanding lawan tanpa tenaga asing, skuad kendalian I Vikneswaran itu masih gagal untuk menyaingi kepantasan pelawat.

Malah, pemain THT bagaikan terpaku dengan kombinasi dan corak permainan yang dipamerkan pemain tempatan berkualiti dimiliki TNB, bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang berjaya merakam kemenangan 3-2.

"Pemain kita menguasai perlawanan dan dapat banyak peluang termasuk enam pukulan sudut penalti, tetapi kita hanya berjaya meledak dua gol saja kerana pemain kita melakukan kesilapan mudah menyebabkan kita dihukum. 

“Kualiti pemain import pada kali ini….ada yang sudah memberikan aksi terbaik, tetapi ada yang masih perlu diperbaiki lagi, saya juga merasa rugi dan pelik (apabila) kehadiran mereka masih gagal membantu pasukan untuk menang.

"Saya akan berasa puas hati jika pemain import ini dapat menghasilkan jaringan, tetapi bukan pemain import saja, pemain kebangsaan juga harus menjaringkan gol selain mengambil peluang yang ada,” katanya.

Namun begitu, Vikneswaran optimis anak buahnya mampu bangkit untuk bangkit menjuarai liga, biarpun bakal menempuhi laluan berliku selepas berada di tangga ketiga carta liga, dengan mengutip 10 mata berbanding pendahulu TNB dengan 15 mata dan pasukan kedua, UniKL (13 mata). 

"Kita masih ada peluang cerah untuk menjuarai liga, dengan syarat pemain harus belajar lagi dan tidak ambil mudah.

“Ini adalah pengajaran yang sangat penting kerana perjalanan liga masih ada dan pemain perlu belajar daripada kesilapan," katanya yang mengakui TNB adalah lawan sukar untuk mencuri mata kemenangan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:43 PM