KEHADIRAN Nabil Fiqri (kanan) dan Azri (gambar kecil) dijangka memberi impak besar kepada THT yang turut mengekalkan gandingan dua beradik, Fitri dan Faizal Saari. FOTO Arkib NSTP.
KEHADIRAN Nabil Fiqri (kanan) dan Azri (gambar kecil) dijangka memberi impak besar kepada THT yang turut mengekalkan gandingan dua beradik, Fitri dan Faizal Saari. FOTO Arkib NSTP.
Saiful Affendy Sapran


KEHADIRAN dua pemain kebangsaan, Nabil Fiqri Mohd Noor serta Muhammad Azri Hassan dijangka memberi impak besar kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi mengharungi saingan Liga Premier TNB Liga Hoki Malaysia, musim depan.

Ketua jurulatih baru THT, I Vikneswaran yang mengesahkan kehadiran dua muka baharu itu berkata, Nabil dan Azri bukanlah asing kepadanya.

“Saya pernah menjadi jurulatih kepada Azri ketika saingan Liga Hoki Remaja Malaysia bersama UniKL.

“Kemudian saya pernah melatih Nabil ketika mewakili Kuala Lumpur untuk saingan Piala Razak. Jadi, ia bukanlah satu masalah besar kepada saya untuk cuba memahami corak permainan mereka,” katanya.

Kehadiran kedua-dua bekas pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu pastinya mengukuhkan lagi kedudukan THT selepas pasangan adik beradik, Faizal dan Fitri Saari turut kekal beraksi bersama pasukan juara Liga Premier itu.

THT sudah memenuhi enam slot pemain import iaitu mengekalkan Pablo Xavier (Argentina) dan Ahmad Shakeel Butt (Pakistan) yang beraksi musim lalu.

Empat muka baharu adalah Jang Jong-hyun dan Jung Man-jae (Korea Selatan), Daniel Kyriakides (Wales) serta Gonzalo Merino (Argentina).

Vikneswaran berharap semua pemain import itu dapat menyertai pasukan secepat mungkin bagi membolehkan mereka melakukan persiapan rapi untuk mengharungi Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 Januari sebelum saingan liga membuka tirai pada 11 Januari.

“Saya mahu barisan pemain import ini dapat menyesuaikan diri dengan cepat mengenai corak permainan liga tempatan.

“Sebab itu saya berharap mereka dapat menyertai pasukan secepat mungkin. Setakat ini kami sudah menjalani latihan, tetapi belum dapat mengumpulkan skuad penuh," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 8:07 PM