PEMAIN THT meraikan kejayaan menjuarai MHL 2016 buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam.
PEMAIN THT meraikan kejayaan menjuarai MHL 2016 buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Terengganu: Terengganu Hockey Team (THT) berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL)TNB 2016 sekali gus mencipta hatrik selepas menewaskan TNB 3-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Batu Buruk Terengganu semalam.

Kemenangan itu bermakna skuad THT yang muncul juara bermula 2014 meraih hadiah wang tunai RM100,000 serta Piala Liga di depan penyokong sendiri selepas mengutip 22 mata.

“Kami gagal menjadi pesaing pada pusingan pertama liga tapi pemain bangkit pada pusingan kedua sehingga mampu mempertahankan kejuaraan liga.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, lebih mudah untuk memenangi kejuaraan liga berbanding mempertahankannya. Saya cukup berbangga dengan barisan pemain saya kerana mampu mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut,” kata Ketua Jurulatih THT Sarjit Singh.

Pemburuan kejuaraan bermula apabila THT mendapat pukulan penalti yang disudahkan pemain tengah kebangsaan Mohd Fitri Saari yang menolak masuk ke sebelah kiri gawang pelawat.

Pada minit ke-18 tuan rumah melebarkan kedudukan menjadi 2-0 melalui gol padang mengelirukan menerusi bekas penyerang kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Hasil kombinasi menarik kapten Faizal dan Ismail Abu menghasilkan gol ketiga buat tuan rumah apabila pemain kebangsaan itu mudah menolak masuk hasil hantaran silang Faizal pada minit ke-31 perlawanan.

Pelawat yang membariskan semua pemain anak tempatan berjaya mendapat gol sagu hati melalui jaringan Muhammad Ramadan Rosli hasil gol padang pada minit ke-32 perlawanan.

Sementara itu meskipun meraih kemenangan 2-1 ke atas Maybank, Sapura gagal merampas kejuaraan liga daripada THT apabila mengumpul 21 mata, kurang satu daripada juara bertahan itu.

Berlangsung di Stadium Tun Razak, skuad bimbingan Yahya Atan meraih gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Gurbaj Singh seawal minit pertama dan Phillip Ross Burrows minit ke-53.

Gol tunggal Maybank hadir menerusi pukulan sudut penalti Juan Valentino pada minit ke-37.

“Saya tetap berpuas hati dengan tempat kedua kerana tewas hanya dengan satu mata.

“Kami masih mempunyai peluang memenangi satu trofi lagi iaitu Piala TNB yang akan berlangsung selepas ini,” kata Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 8:36 AM