PEMAIN Chelsea meraiakan kejayaan selepas menewaskan Spurs dalam penentuan sepakan penalti. FOTO/AFP
PEMAIN Chelsea meraiakan kejayaan selepas menewaskan Spurs dalam penentuan sepakan penalti. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Chelsea menghasilkan tindak balas sempurna bagi membalas kritikan pengurusnya, Maurizio Sarri apabila mara ke final Piala Liga selepas menundukkan Tottenham 4-2 menerusi penentuan penalti, awal pagi tadi.

Gol pada babak pertama daripada N'Golo Kante dan Eden Hazard memberikan Chelsea kemenangan 2-1 pada perlawanan timbal balik itu untuk mengatasi defisit kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama.

Willian, Cesar Azpilicueta, Jorginho dan David Luiz masing-masing menyempurnakan tugasan penalti yang diberikan untuk Blues menempah aksi final menentang penyandang juara, Manchester City pada 24 Februari depan.

Eric Dier dan Lucas Moura dalam pada itu gagal menyempurnakan penalti buat Spurs.

Sarri sebelum ini mempersoalkan kekuatan mental pemainnya secara terbuka dan menuntut Hazard menunjukkan potensi yang dimilikinya selepas kekalahan 0-2 kepada Arsenal, minggu lalu.

Kante membuka tirai jaringan Chelsea pada minit ke-27 selepas memperdaya tiga pemain Tottenham sebelum Hazard melengkapkan kemenangan pada minit ke-38.

Penyerang veteran Spurs, Fernando Llorente mengembalikan peluang pelawat, lima minit selepas babak kedua bersambung tetapi keputusan menyaksikan satu lagi peluang pengurus Spurs, Mauricio Pochettino untuk menjulang piala lebur.

PEMAIN Spurs kecewa selepas gagal mara final Piala Liga. FOTO/AFP
PEMAIN Spurs kecewa selepas gagal mara final Piala Liga. FOTO/AFP

Tanpa kehadiran beberapa tonggak termasuk Harry Kane, Dele Alli dan Son Heung-min, semangat Tottenham boleh dipuji tetapi masalah mereka bertambah apabila Ben Davies dan Moussa Sissoko juga dikhuatiri mengalami kecederaan.

Penyerang baharu Chelsea, Gonzalo Higuain turut diperkenalkan kepada peminat tuan rumah sebelum perlawanan berlangsung tetapi penyerang Argentina itu tidak dapat diturunkan dengan tugas menjana serangan dipikul Olivier Giroud.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:06 AM