DAVIES (tengah) teruja beraksi disamping rakan sepasukan yang terpilih ke Mokpo. -Foto fail
DAVIES (tengah) teruja beraksi disamping rakan sepasukan yang terpilih ke Mokpo. -Foto fail
Syafiq Aznan


TONGGAK pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Matthew Davies menyifatkan semua 26 pemain yang dipilih menjalani latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan adalah pemain yang terbaik di negara ini.

Menurut pertahanan Pahang itu, skuad muda itu juga sudah bersedia, apatah lagi dengan kehadiran beberapa pemain B-19 yang memiliki potensi begitu besar sekali gus dapat membantu memperkuatkan pasukan.

“Tidak kira siapa pemain yang dipilih, saya melihat ia skuad yang kuat dan dibarisi pemain yang begitu bersemangat membuktikan kemampuan masing-masing.

“Pemain skuad B-19 juga memiliki bakat yang tidak kurang hebatnya,” katanya selepas aksi persahabatan bertemu Melaka United di Stadium Shah Alam, semalam.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu sekadar terikat tanpa jaringan menentang pasukan Liga Super itu, namun beraksi cemerlang apabila membenam pasukan Liga FAM, PJ Rangers 8-2 pada aksi persahabatan pertama, minggu lalu.

Pertahanan berusia 22 tahun itu antara 26 pemain yang dipilih menyertai latihan pusat di Korea Selatan bermula Ahad ini dengan dia bakal bersaing merebut posisi sayap dengan tiga lagi pemain iaitu Syahmi Safari, Tommy Mawat Bada serta Syazwan Andik Ishak.

Bagaimanapun, kelebihan beraksi di beberapa posisi selain fizikal mantap dan pengalaman luas beraksi bersama skuad senior sebelum ini, Davies dilihat sebagai pemain yang ‘wajib disenaraikan’ dalam setiap pasukan yang diwakilinya.

Skuad 26 pemain ke Mokpo itu akan berlepas awal pagi Ahad ini bagi menjalani latihan serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dengan kelab tempatan Korea Selatan iaitu Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Kemudian, Kim Swee bakal menggugurkan tiga lagi pemain bagi melengkapkan senarai akhir skuad 23 pemain ke Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 sebelum berlepas dari Korea Selatan ke Nanjing, China pada 30 Disember untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 5 Januari 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 4:34 PM