ANDY MURRAY
ANDY MURRAY
AFP

MELBOURNE: Andy Murray berkata dia akan membuat keputusan untuk menjalani pembedahan lanjutan yang boleh menamatkan kariernya dalam ‘tempoh seminggu’ selepas bergelut dalam permainan lima set sebelum tersingkir di Grand Slam Terbuka Australia, hari ini.

Pemain kelahiran Scotland itu berjuang berhabis-habisan sebelum tewas 6-4, 6-4, 6-7 (5/7), 6-7 (4/7), 6-2 kepada Roberto Bautista Agut di pusingan pertama.

Murray, yang berkata akan menggantung raketnya musim ini berikutan kesakitan pinggul kronik tampak longlai pada dua set pertama sebelum bangkit tetapi set kelima jelas terlalu sukar.

“Menakjubkan. Ia mengagumkan, terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang yang datang pada hari ini,” kata pemenang tiga gelaran Grand Slam itu kepada penonton sebelum menerima tepukan gemuruh.

“Sejujur-jujurnya, saya gembira dapat bermain di sini selama ini. Jika ini perlawanan terakhir saya, ia adalah cara yang menakjubkan untuk berhenti. Saya memberikan segala-gala yang saya miliki dan ia masih belum mencukupi.”

Murray pada Jumaat lalu mengumumkan akan bersara di Wimbledon tahun ini tetapi mengakui perlawanan menentang Agut berpotensi menjadi yang terakhir buatnya kerana dia memerlukan pembedahan yang besar bagi memperbaiki kesakitan pinggulnya.

“Secara asasnya saya mempunyai dua pilihan. Satu daripadanya ialah mengambil cuti selama empat bulan setengah dan kemudian bersedia, untuk bermain di Wimbledon.

“Saya benar-benar mengatakannya yang saya memang bergelut. Saya ketika ini tidak boleh berjalan dengan betul. Saya boleh bermain satu lagi perlawanan, tetapi saya mahu memperbaiki kualiti hidup saya, kerana sekali pun saya berehat selama empat bulan, saya masih tidak boleh berjalan.

“Tetapi dengan menjalani pembedahan seperti itu, tidak ada sebarang jaminan yang saya boleh kembali bermain. Saya sedar mengenainya. Ia benar-benar pembedahan yang besar. Saya mungkin akan membuat keputusan pada minggu depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 1:17 AM