Andy Murray (kiri) dan Stan Wawrinka bersama trofi masing-masing. FOTO AFP
Andy Murray (kiri) dan Stan Wawrinka bersama trofi masing-masing. FOTO AFP
AFP

ANDY Murray berkata dia sangat bangga apabila memenangi kejuaraan ATP pertamanya sejak Mac 2017 selepas menewaskan rakan dan juga juara Grand Slam tiga kali, Stan Wawrinka pada final di Antwerp.

Bekas pemain nombor satu dunia, Murray mengatasi Wawrinka 3-6, 6-4, 6-4, selepas pemain Britain itu hampir bersara awal tahun ini sebelum menjalani pembedahan pinggul bagi menyelamatkan kerjayanya, bangkit daripada ketinggalan satu set dan 3-1 untuk memenangi kejuaraan ke 46 dalam kariernya.

“Ia sangat bermakna. Sejak beberapa tahun ini situasi amat sukar,” kata Murray kepada Amazon Prime sambil mengalir air mata.

“Kedua-duanya saya dan Stan mempunyai banyak masalah kecederaan beberapa tahun ini. Ia amat menakjubkan untuk kembali, beraksi menentangnya dalam final adalah seperti itu. Saya fikir ia adalah perlawanan yang hebat.”

“Saya tidak menjangka akan berada dalam kedudukan ketika ini secara keseluruhannya. Saya gembira, sangat gembira,” tambah Murray, yang ranking semakin melonjak ke 243 dalam dunia.

Andy Murray bersama trofi yang dimenangi di Terbuka Eropah ATP di Antwerp. FOTO AFP
Andy Murray bersama trofi yang dimenangi di Terbuka Eropah ATP di Antwerp. FOTO AFP

Murray menjadi juara ATP dengan ranking terbawah sejak nombor 355 Pablo Andujar memenanginya di Terbuka Marrakech pada 2018.

“Saya sangat seronok meluangkan hujung minggu di sini. Suasana beberapa hari terakhir begitu menakjubkan,” kata Murray.

“Saya sangat bangga untuk menang minggu ini.”

Wawrinka, yang juga memburu kejuaraan pertama sejak dua tahun, terkejut dengan aksi lawannya yang pada Januari meluahkan perasaan sedih kerana berdepan kecederaan pada pinggul yang membataskan aksinya.

Murray mengumumkan pada sidang media Terbuka Australia dengan penuh emosi bahawa dia merancang untuk bersara di Wimbledon tahun ini kerana mengalami kecederaan pinggul yang kronik.

“Saya fikir dalam dunia tenis, termasuk saya, sangat sedih di Australia selepas sidang media itu,” kata Wawrinka.

“Untuk melihat anda kembali di peringkat ini, adalah menakjubkan. Kami semua begitu gembira. Saya kecewa sebab tewas hari ini tetapi saya gembira melihat kamu kembali.

“Kamu adalah juara yang hebat dan berhak menang. Saya tewas hari ini tetap secara umum, ia adalah minggu yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 12:06 PM