NOKMAN Mustaffa. FOTO arkib NSTP
NOKMAN Mustaffa. FOTO arkib NSTP
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persiapan pasukan Kuala Lumpur (KL) menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan tidak terjejas meskipun sedang berdepan ketidaktentuan berhubung pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu.

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diberi tempoh 14 hari oleh Pesuruhjaya Sukan bagi menjawab segala aduan yang dikemukakan berkaitan bantahan proses kongres ke-31 persatuan itu sebelum ini menegaskan, isu itu tidak akan mengganggu fokus dan persiapan skuad The City Boys itu.

Malah, KL yang kini dibimbing pengendali baharu, Yusri Che Lah turut dijangka membawa masuk beberapa muka baharu termasuk dua tonggak import dan tiga pemain tempatan tidak lama lagi.

Menurut Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, latihan yang sudah bermula sejak awal bulan ini berjalan seperti biasa dengan Yusri giat memantapkan pasukan.

"Kami diberi tempoh 14 hari dan akan berjumpa semula dengan Pesuruhjaya Sukan pada 8 Januari ini bagi menjawab segala aduan yang dibangkitkan oleh ahli gabungan kami.

"Walaupun isu ini masih tergantung, persiapan pasukan berjalan baik dengan Yusri dan pemain memberi sepenuh komitmen dalam latihan ketika ini.

"Tidak ada masalah langsung, malah kami kemungkinan besar menambah lagi lima pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan sebelum sepak mula Liga Super bermula pada 1 Februari depan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, selepas tempoh pencalonan ditutup pada 5 November lalu, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan mengekalkan kedudukannya selaku Presiden KLFA selepas menang tanpa bertanding ekoran memperoleh 18 pencalonan daripada 31 ahli gabungan persatuan itu.

Begitupun, kongres yang sepatutnya berlangsung pada 18 November bagaimanapun diarahkan supaya ditangguhkan oleh Pesuruhjaya SukanĀ  untuk memberi ruang kepada proses siasatan lanjut selepas menerima surat bantahan daripada ahli gabungan KLFA.

Difahamkan aduan atau bantahan itu dibuat selepas mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pelaksanaan kongres yang didakwa menafikan hak ahli.

"Saya sedang menyiapkan laporan yang diminta Pesuruhjaya Sukan. Sekiranya ia tidak memihak kami, KLFA tidak teragak-agak untuk membawa isu ini kepada SPRM (Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana saya yakin kami bertindak mengikut statut yang ada," kata Nokman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 5:11 PM