KAMARUDIN Hassan. FOTO arkib NSTP
KAMARUDIN Hassan. FOTO arkib NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mempunyai tempoh 14 hari untuk menjawab segala aduan yang dikemukakan berkaitan bantahan terhadap proses kongres ke-31 persatuan itu.

Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan menjelaskan persetujuan itu dibuat selepas satu pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman dan pengadu di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 13 aduan dikemukakan mengenai proses kongres itu dan mereka meminta diberikan ruang buat Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjawab semua aduan itu.

“Kami tidak boleh menjawab ketika mesyuarat itu sebab ada 13 aduan yang dibuat, jadi kami minta diberi peluang kepada Setiausaha Agung untuk menjawab dalam masa 14 hari.

“Selepas itu barulah keputusan boleh dibuat. Baru tadi mereka bentangkan aduan itu, jadi tidak adil (buat KLFA) sebab mereka mengadu kepada Datuk Zaiton tapi tak mengemukakannya kepada kami,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

“Aduan itu lebih kepada teknikal seperti proses pencalonan. Kami akan menjawab semua aduan itu sebelum berakhir tempoh diberikan pada 7 atau 8 Januari depan dengan keputusan mengenai kongres ini boleh dibuat selepas melihat semua jawapan kami.”

Zaiton sebelum ini mengarahkan kongres yang sepatutnya berlangsung bulan lalu ditangguhkan untuk memberi ruang kepada proses siasatan lanjut dan pendengaran selepas menerima surat bantahan ahli gabungan KLFA.

Difahamkan aduan atau bantahan itu dibuat selepas mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan pelaksanaan kongres yang didakwa menafikan hak ahli.

Sementara itu, calon Timbalan Presiden KLFA, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap kongres itu akan berakhir dengan cara yang baik tanpa unsur sogokan dan fitnah.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menafikan dakwaan beliau akan menarik diri daripada bertanding pada kongres yang disifatkan boleh berlangsung pada bila-bila masa.

“Saya ingin tegaskan dakwaan itu tak benar sama sekali dan saya tak akan menarik diri daripada bertanding. Saya bertanding atas rasa tanggungjawab serta amanah yang diberikan oleh ahli gabungan yang mencalonkan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 5:28 PM