PENYOKONG yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH
PENYOKONG yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Setanding final Piala Dunia 2018!

Itu kesimpulan yang dapat dibuat jika melihat kepada kehadiran penyokong yang menghangatkan suasana final pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Susulan jualan tiket perlawanan yang ‘laku keras’, kita boleh membuat congakan mudah mengenai jumlah kehadiran penyokong membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus membuktikan betapa final edisi kali ini bakal mencipta sejarah tersendiri dalam penganjuran kejohanan berprestij dwitahunan itu.

Sebagai perbandingan, aksi final Piala Dunia 2018 antara Perancis dan Croatia di Stadium Luzhniki, Moscow membabitkan kehadiran 78,011 penonton yang berkesudahan dengan Les Bleus merangkul kejuaraan buat kali kedua selepas menundukkan Croatia 4-2.

PENYOKONG yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH
PENYOKONG yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH

Namun aksi final pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pula membabitkan kehadiran lebih 85,000 penonton!

Jadi tidak keterlaluan jika dianggap aura final Piala AFF 2018 setara dengan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 dari segi kehangatan sambutan dan kehadiran penyokong yang menyaksikan perlawanan secara langsung.

Setakat jam 6 petang, penyokong mula memenuhkan ruangan dalam stadium dan beberapa kain rentang seperti ‘Siap Sedia Berkorban Demi Ibu Pertiwi’, ‘Tanah Tumpahnya Darahku’ dan ‘Demi Lencana Di Dada’ turut mewarnai lagi aksi final malam ini.

Kehadiran penyokong tegar, Ultras Malaya turut menggamatkan suasana dalam stadium dengan pukulan gendang dan laungan kata-kata semangat penuh bertenaga daripada mereka yang memenuhi ruangan di belakang pintu gol.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 6:57 PM