Skuad kebangsaan akan berdepan Myanmar di Bukit Jalil, Sabtu ini. FOTO HM Digital
Skuad kebangsaan akan berdepan Myanmar di Bukit Jalil, Sabtu ini. FOTO HM Digital
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Penyokong Harimau Malaya masih berkesempatan untuk menyaksikan perlawanan Piala AFF 2018 membabitkan Malaysia dan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menerusi satu kenyataan di laman rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penyokong masih lagi boleh mendapatkan tiket perlawanan itu memandangkan hanya 30,600 tiket yang terjual setakat semalam.

Mengambil kira kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu memuatkan lebih 80,000 penonton, sudah tentu banyak lagi tiket yang boleh dibeli oleh penyokong bagi memeriahkan lagi sokongan kepada pasukan negara.

Justeru, penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan berharga RM20 (terbuka), RM30 (grandstand) dan RM5 (kanak-kanak) di kaunter khas yang dibuka di Wisma FAM pada hari ini dan esok bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Kaunter jualan tiket akan dibuka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 5 petang manakala penyokong yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan tiket sepanjang tempoh tiga hari ini boleh mendapatkan tiket pada hari perlawanan bermula 10 pagi sehingga sepak mula perlawanan atau sehingga tiket habis terjual.

Pembelian secara online di www.tickethotline.com.my juga masih boleh dilakukan namun hanya bagi tiket RM20 (terbuka) dengan kaunter penebusan tiket akan dibuka di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula esok (Khamis, 22 November) hingga pada hari perlawanan (Sabtu, 24 November).

FAM akan terus memberikan kemas kini mengenai jumlah terkini tiket yang sudah terjual pada setiap hari serta informasi terbaharu berkaitan penjualan tiket sehingga hari perlawanan untuk makluman penyokong Harimau Malaya yang akan ke stadium.

Aksi pada Sabtu ini bakal menjadi penentu buat anak buah Tan Cheng Hoe sama ada mampu meneruskan kemaraan ke separuh akhir ataupun sekali lagi kecewa terkandas setakat di peringkat kumpulan.

Berdasarkan enam mata dikutip daripada tiga perlawanan, mereka perlu menewaskan Myanmar untuk menempah tiket ke separuh akhir sambil mengharapkan Kemboja dapat mengekang Vietnam daripada memungut mata penuh untuk menjuarai Kumpulan A.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 3:39 PM