KEADAAN di depan Stadium Nasional, Bukit Jalil.
KEADAAN di depan Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menasihatkan kepada penyokong yang bercadang untuk mendapatkan tiket aksi final pertama Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam, Selasa ini supaya tidak hadir lagi susulan kesesakan jumlah penyokong yang begitu ramai pagi ini.

Ini kerana berdasarkan keadaan terkini di perkarangan stadium, menyaksikan jumlah penyokong semakin bertambah hingga barisannya dilihat mengelilingi satu stadium dan dijangkakan ia tidak dapat lagi menampung jumlah tiket yang dijual di kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula jam 10 pagi ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau berharap tiada lagi tambahan penyokong hadir pagi ini kerana ia hanya akan menyebabkan penyokong pulang dengan kecewa.

“FAM amat menghargai sokongan yang ingin diberikan kepada skuad Harimau Malaya pada aksi final pertama ini, namun kami tidak dapat memenuhi kehendak semua penyokong dan hanya dapat menjual maksimum 80,000 keping tiket bagi menyaksikan perlawanan ini.

FAZLY berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil sejak malam tadi untuk membeli tiket final Piala AFF. Foto Firdaus Hashim
FAZLY berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil sejak malam tadi untuk membeli tiket final Piala AFF. Foto Firdaus Hashim

“Bagi penyokong yang sedang beratur di Stadium Nasional ketika ini, saya sedang berbincang dengan polis untuk penyediaan bantuan keselamatan apabila proses penjualan tiket bermula supaya tidak berlaku kekecohan atau sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Menerusi beberapa keping gambar yang tular sejak petang semalam, penyokong Harimau Malaya sanggup tidur dan memasang khemah di depan kaunter stadium semata-mata untuk mendapatkan tiket final itu.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran penyokong semakin bertambah pagi ini.

“FAM juga prihatin dengan keadaan penyokong yang menunggu cukup lama sejak malam tadi dan akan membuka kaunter jualan tiket lebih awal sejurus polis dan petugas kaunter sudah bersedia,” katanya.

Terdahulu, 40,000 tiket yang dijual dalam talian sudah habis dijual dengan hari ini baki 40,000 tiket lagi akan dijual secara fizikal di dua tempat termasuk Stadium Nasional dan beberapa cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan mereka boleh merujuk laman Facebook Al-Ikhsan Sports untuk butiran lanjut.

Setiap pembelian, bagaimanapun, hanya dihadkan kepada dua tiket tempat duduk terbuka berharga RM40.

Malaysia seri 2-2 dengan juara bertahan Thailand pada separuh akhir, namun layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final selepas menang 4-2 secara agregat ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir yang menggunakan format timbal balik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 10:08 AM