PENYOKONG tuan rumah beratur sebelum memasuki stadium.
PENYOKONG tuan rumah beratur sebelum memasuki stadium.
Daripada Syafiq Aznan di Bangkok


Bangkok: Stadium Thammasat mungkin kecil namun tetap 'gagah' dengan kehadiran 25,000 penyokong bagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022, malam ini.

Atmosfera di sekitar stadium nampak 'hidup' dan menepati jangkaan untuk aksi berstatus separuh akhir yang menemukan Thailand menentang Malaysia bagi slot ke final Piala AFF 2022.

'Lautan Biru' membanjiri Stadium Thammasat yang terletak dalam Universiti Thammasat pasti membakar motivasi pemain Thailand yang ketinggalan 1-0 daripada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Tidak ketinggalan kelibat penyokong Malaysia juga sudah kelihatan di Stadium Thammasat dan masing masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar di tugu naga dan bersama penyokong Thailand.

Keadaan stadium terkawal dengan kebanyakan penyokong turut sekadar 'melepak' di pekarangan stadium sementara menanti pintu pagar dibuka pada jam 5 petang.

Pekarangan stadium yang luas dimanfaatkan sepenuhnya dengan suasana festival menampilkan pelbagai gerai makanan dan gerai penaja kejohanan yang diserbu penyokong Thailand untuk mengisi masa sebelum masuk ke stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 6:55 PM