PENYOKONG mula membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto BERNAMA
PENYOKONG mula membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto BERNAMA
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Venue perlawanan akhir Piala AFF 2018, Stadium Nasional Bukit Jalil terus disuntik dengan aura final menjelang sepak mula aksi penentuan itu yang akan berlangsung enam jam lagi.

Kehadiran penyokong Harimau Malaya ke stadium berkapisiti lebih 80,000 menghangatkan lagi pertembungan antara Malaysia bertemu Vietnam yang akan membuat perhitungan pertama bagi merebut gelaran ‘Raja Asia Tenggara.’

Setakat jam 2 petang, Stadium Nasional Bukit Jalil sudah dibanjiri dengan penyokong yang kebanyakannya memakai jersi berwarna kuning dan hitam.

Sekalipun pintu masuk ke stadium hanya akan dibuka sekitar jam 4.30 petang namun sudah ada kelompok penyokong yang mengerumuni bahagian pintu masuk khususnya Pintu A, B, C dan D yang dikhaskan untuk penyokong Malaysia.

Penyokong Vietnam juga tidak ketinggalan untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka apabila sekelompok kecil penyokong sudah mula menunggu di hadapan Pintu E yang dikhususkan buat mereka.

Cuaca di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil juga agak baik meskipun mulai mendung sekitar jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, aliran trafik ke arah Stadium Nasional Bukit Jalil sudah mulai sesak dan penyokong dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan masuk dan keluar dari perkarangan stadium.

 

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 4:16 PM