NGUYEN Cong Phuong ketika separuh akhir Piala AFF 2018 antara Vietnam dan Filipina di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam 6 Disember lalu. FOTO EPA
NGUYEN Cong Phuong ketika separuh akhir Piala AFF 2018 antara Vietnam dan Filipina di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam 6 Disember lalu. FOTO EPA
Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: Gandingan ‘Nguyen Bersaudara’ perlu disekat barisan pertahanan Malaysia bagi mengelak daripada dikecewakan pada aksi final pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Situasi itu diakui pertahanan kiri negara, Nazirul Naim yang melihat betapa kehadiran dua pemain skuad Naga Emas itu, Nguyen Ahn Duc dan Nguyen Cong Phuong mampu menjadi duri dalam daging buat skuad negara pada aksi penentuan itu nanti.

“Kami sudah membuat kajian menerusi rakaman video dan kami lihat ada beberapa pemain Vietnam yang perlu diawasi contohnya seperti pemain nombor 11 (Ahn Duc) dan nombor 14 (Cong Phuong)

“Jadi kami menunggu perancangan jurulatih dan apa pendekatan yang akan digunakan untuk menghadapi cabaran lawan pada perlawanan terbabit,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam.

Ketika Syazwan Andik Mohd Ishak masih bergelut dengan kecederaan, berkemungkinan besar khidmat Nazirul sekali lagi perlu ditagih Tan Cheng Hoe pada aksi final pertama yang berlangsung di laman sendiri.

Persembahan kemasnya pada aksi separuh akhir kedua bertemu Thailand menjadi bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila menjadi pencetus kepada gerakan untuk menghasilkan gol menarik dijaringkan Syahmi Safari bagi mengikat kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, pertahanan berusia 25 tahun itu mengakui persembahan kemas ditunjukkan ketika diturunkan pada aksi terbabit tidak memberi jaminan automatik untuk membarisi kesebelasan utama bagi perlawanan akhir.

"Bagi saya, setiap pemain yang berada di bangku simpanan pasti berdebar-debar apabila menunggu peluang untuk diturunkan. Jika saya terus diberikan peluang, saya akan membuktikan betapa saya layak untuk berada dalam pasukan.

"Saya akui saya tidak boleh selesa dengan situasi ini kerana ada lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Memandangkan saya hanya beraksi pada separuh akhir, saya kekurangan minit perlawanan untuk mendapatkan momentum bagi menyesuaikan diri dengan pasukan," katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:25 PM