SKUAD Thailand gagal pecah kebuntuan gol. FOTO/NSTP
SKUAD Thailand gagal pecah kebuntuan gol. FOTO/NSTP
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Mengukuhkan benteng pertahanan menjadi fokus utama Thailand bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

Ia susulan kegagalan skuad digelar Gajah Perang itu mendapatkan bekalan gol tempat lawan selepas terikat tanpa jaringan dengan Malaysia pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Jurulatih Thailand, Milovan Rajevac memberi jaminan pasukannya akan tampil lebih garang di Bangkok nanti bagi merebut tempat ke final yang dijadualkan berlangsung pada 11 dan 15 Disember depan.

Beliau berkata, tempoh empat hari sebelum aksi timbal balik perlu digunakan sepenuhnya untuk melakukan persediaan rapi bagi mengekang segala asakan Malaysia.

“Kami mencipta beberapa peluang tapi tak semua peluang terbaik yang kami dapat. Apa yang penting kami tidak tewas.

“Sekarang ini kami perlu tingkatkan lagi tahap permainan untuk menghadapi separuh akhir kedua di Bangkok nanti dan kami perlu menjaringkan gol.

“Aksi di gelanggang sendiri dan tempat lawan pasti berbeza, begitu juga negara Asia Tenggara yang lain. Apa yang pasti Malaysia sekali lagi akan memberi saingan sengit kepada kami,” katanya selepas perlawanan, malam tadi.

Keputusan di Bukit Jalil menyaksikan Thailand gagal mencapai sasaran awal Rajevac untuk mendapatkan gol tempat lawan sebagai bekalan ke Bangkok.

Sebaliknya, Harimau Malaya hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri 1-1 di Bangkok nanti untuk memusnahkan impian Thailand mengekalkan kejuaraan Piala AFF.

Mengulas lanjut, Rajevac tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun tidak beraksi di bawah prestasi sebenar di Bukit Jalil.

“Ia bukan seperti perancangan asal kami (untuk tidak bermain secara bertahan). Malaysia beraksi dengan cukup baik dengan beberapa serangan dan mereka sangat agresif,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 7:09 PM