Aziman Rosdi dan Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad Harimau Malaya mencalar ego juara bertahan, Thailand tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 pada separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Anak buah Tan Cheng Hoe seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana memilih jalan sukar tanpa bekalan selesa apabila akan bertandang ke Bangkok Rabu depan bagi aksi kedua untuk mencari tiket ke final.

Pada aksi sebentar tadi, Cheng Hoe menaruh kepercayaan kepada kesebelasan utama yang sama ketika menundukkan Myanmar 3-0 pada aksi terakhir kumpulan untuk mara ke separuh akhir.

Ia 45 minit pertama yang cukup mengecewakan buat 80,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium apabila tiada gol yang dapat dihasilkan pemain negara meskipun menguasai sepenuhnya permainan.

Jarang sekali dapat melihat skuad Harimau Malaya lebih banyak mengasak berbanding Thailand, juara lima kali kejohanan yang lebih banyak bertahan dan hanya menunggu peluang untuk serangan balas pantas.

Malaysia yang juga juara 2010 seharusnya sudah di depan sekurang-kurangnya dengan dua gol menerusi percubaan dalam kotak penalti pemain sayap, Safawi Rasid pada minit kelima dan Mohamadou Sumareh (m-26) tapi tersasar.

Thailand yang dibimbing Milovan Rajevac memiliki peluang terbaik di minit ke-24 namun Nurul Sriyankem yang bijak melepasi perangkap ofsaid sekadar melihat bola sepakannya melepasi palang.

Tuah terus tidak memihak kepada pasukan negara apabila bola rembatan Norshahrul  Idlan Talaha dalam kotak penalti selepas melakukan hantaran satu dua dengan Zaquan Adha Abd Radzak sedikit melepasi palang di minit ke-66.

Situasi tampak semakin sukar buat anak buah Cheng Hoe apabila dua pemain, Sumareh dan pertahanan kanan Syazwan Andik terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika mereka buntu untuk mencipta gol.

Keputusan seri tanpa jaringan jelas melegakan skuad Gajah Perang yang tewas 2-3 pada pertemuan terakhir dengan Malaysia di Bukit Jalil pada final 2014 namun menjulang kejuaraan menerusi agregat 4-3.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 10:50 PM
PEMAIN Thailand, Pokkhao Anan (tengah) diasak pemain Malaysia, Shahrul Saad (kanan) pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO AFP
PEMAIN Thailand, Pokkhao Anan (tengah) diasak pemain Malaysia, Shahrul Saad (kanan) pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO AFP