CHENG Hoe (dua dari kanan) bersalaman dengan Rajevac. Turut bersama, Sumareh (kanan) dan pemain Thailand, Korrakot Wiriyaudomsir (kiri) pada sidang media, semalam.
CHENG Hoe (dua dari kanan) bersalaman dengan Rajevac. Turut bersama, Sumareh (kanan) dan pemain Thailand, Korrakot Wiriyaudomsir (kiri) pada sidang media, semalam.
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Bukit Jalil malam ini, bukan satu perkara yang keterlaluan jika dikatakan individu yang paling gelisah ialah jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan pengendali Thailand, Milovan Rajevac.

Masing-masing bakal tampil dengan taktik berbeza walaupun hakikatnya tetap satu - mahu meledak jaringan tetapi pada masa sama, gawang perlu terus kebal.

Hanya selepas aksi 90 minit malam ini yang akan menentukan percaturan siapa paling menjadi sebelum menuju ke separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

Walaupun kedua-duanya mengharapkan persembahan terbaik daripada anak buah masing-masing dan mendapatkan keputusan positif, sudah pasti ada percaturan ‘rahsia’ yang cuba dilakukan.

Bagi Cheng Hoe, beliau mengharapkan persembahan seimbang antara menyerang dan bertahan daripada barisan Harimau Malaya.

Bekas pengendali Kedah itu menjelaskan pasukannya perlukan jaringan untuk dijadikan bekalan sebelum ke Bangkok, tapi pada masa yang sama enggan melihat gawang Harimau Malaya dibolosi.

“Kita perlu lebih waspada dari segi serangan Thailand kerana kita tahu mereka sudah menjaringkan 15 gol sepanjang kejohanan,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, semalam.

“Apa yang penting, pemain saya jangan terlalu ghairah atau terlalu ingin mendapatkan gol hingga (gawang) kita dibolosi.

“Ia kerana dalam setiap perlawanan di peringkat kalah mati ini jaringan tempat lawan sangat penting buat mana-mana pasukan.

“Saya akan gembira jika kami tidak bolos. Tapi dalam tempoh 90 minit itu kita tidak boleh hanya bertahan, kita perlu juga menyerang dan pada masa sama kena waspada dengan serangan lawan.”

Apa yang dikatakan Cheng Hoe itu seakan enggan melihat kekecewaan pada final Piala AFF 2014 berulang di mana Malaysia meraih kemenangan 3-2 di Bukit Jalil, namun kekalahan 0-2 di Bangkok menyaksikan Harimau Malaya terpaksa melepaskan trofi kejuaraan kepada Thailand.

Selain itu, Cheng Hoe menegaskan Harimau Malaya tidak boleh terlalu memikirkan mengenai kekuatan Thailand, sebaliknya perlu memberikan fokus terhadap permainan sendiri.

“Ramai orang kata perlawanan dengan Myanmar kita main begitu baik tapi saya rasa episod itu sudah berlalu dan ketika ini kita perlu berdepan pasukan yang lebih kuat dan berpengalaman.

“Paling penting pemain saya perlu bermain mengikut kekuatan kami bukan menumpukan kepada pasukan Thailand. Kita kena percaya kepada falsafah corak permainan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 11:10 AM