RAJEVAC tidak kisah aksi berakhir dengan 0-0. FOTO/NSTP
RAJEVAC tidak kisah aksi berakhir dengan 0-0. FOTO/NSTP
Daripada Aziman Rosdi di Bangkok dan Thailand


PENGENDALI Thailand Milovan Rajevac tidak kisah sama ada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF esok bakal berakhir 90 minit atau berlarutan ke penentuan sepakan penalti.

Katanya, mereka sudah bersedia berdepan apa sahaja situasi untuk menyingkirkan juara 2010 Malaysia sekali gus mara ke final bagi mempertahankan kejuaraan.

“Setiap pemain sedar dengan tanggungjawab masing-masing. Perlawanan ini penting untuk penyokong. Semua pemain sudah bersedia dan bersemangat untuk perlawanan esok.

“Kami yakin menang dan bersedia untuk sebarang senario yang akan berlaku (penentuan sepakan penalti),” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan semalam.

Selepas aksi pertemuan pertama berakhir dengan 0-0, kedua-dua pasukan perlu memburu gol bagi mengelak perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti.

Situasi Thailand, juara lima kali kejohanan lebih perit apabila tidak boleh seri dengan jaringan kerana bakal memberi kelebihan kepada Harimau Malaya menerusi gol di tempat lawan.

Rajevac dijangka mengarahkan jentera serangan mereka yang diterajui penjaring terbanyak dengan lapan gol Adisak Kraisorn untuk menggempur kubu Malaysia habis-habisan.

“Kami sudah bersedia, kali ini kami akan mempunyai sokongan padu penyokong, jadi saya yakin kami boleh mendapat keputusan positif dalam perlawanan penting ini untuk ke final,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:03 PM