GUARDIOLA (kanan) bersama Pochettino. FOTO Agensi
GUARDIOLA (kanan) bersama Pochettino. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Pengendali Paris Saint Germain, Mauricio Pochettino tidak bimbang dengan reputasi Pep Guardiola yang dianggapnya pengurus terbaik di dunia menjelang pertembungan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes pada pagi Khamis ini.

Bekas pengurus Tottenham, Pochettino berkata mereka perlu menewaskan jurulatih terbaik planet ini jika PSG mahu mara ke final di Istanbul bulan depan.

Pochettino yang mengecewakan Manchester City pada suku akhir 2019 sebelum ke final berkata: "Bagi saya dia yang terbaik, saya kagumi dia. Dia menjalankan tugas sangat fantastik di Manchester City dan saya fikir dia jurulatih hebat dan dibantu barisan kejurulatihan yang juga hebat kerana saya kenal mereka yang bekerja dengannya.

"Bagi saya, dia pengurus fantastik dan dia jurulatih yang selalu memikirkan strategi berbeza dan taktikal permainan yang berlainan.

"Dia jurulatih sangat bijak, bekerja keras bersama staf kejurulatihan. Kelab seperti Manchester City memberikan dia sepenuh keyakinan dalam membuat keputusan dan menjadi pengurus sebenar. Itu juga sangat penting.

"Kelab yang mempercayai anda akan memberikan semua elemen dan apa sahaja untuk anda membangunkan pasukan serta beri kebebasan untuk buat keputusan terbaik demi kelab.

"Kelab juga memberi anda kelengkapan untuk kejayaan dan itu dilakukan City, hasil gabungan Pep, staf kejurulatihan, pengurusan dan setiap orang,'' katanya.

Pochettino pula menyedari harapan menggunung pemilik PSG dari Qatar.

"Sasaran kelab sejak 10 tahun lalu ialah menjulang Liga Juara-Juara dan kami bekerja keras untuk itu. Sudah tentu halangan terakhir paling sukar. Jika anda ingat di Tottenham, ia seperti satu badi tetapi PSG kini ada di situ. Saya suka perasaan ini dan menang setiap perlawanan.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 12:09 PM