KANE (kanan) gesa Spurs untuk terus meningkat jika mahu pemain itu kekal dalam pasukan. FOTO/AFP
KANE (kanan) gesa Spurs untuk terus meningkat jika mahu pemain itu kekal dalam pasukan. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Bos Tottenham, Mauricio Pochettino menyatakan semalam Harry Kane lebih suka memenangi trofi di kelab itu berbanding tempat lain selepas bintang serangan itu menyatakan mengenai keinginan kuatnya merangkul kejuaraan.

Kane menegaskan hujung minggu lalu dia gembira di Spurs namun kelab masa kecilnya itu perlu terus meningkat dan mula memenangi kejuaraan bagi menyamai cita-cita besarnya.

Dengan 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, penyerang England itu muncul seorang daripada pemain paling dikehendaki di dunia.

Namun Pochettino, yang mengakui Kane tidak boleh dipaksa untuk kekal, percaya pemain berusia 24 tahun itu lebih sukakan kejayaan di Tottenham berbanding pasukan lain.

“Harry gembira. Sering kali saya memberitahu penyokong kami, dia gembira,” ujar Pochettino.

“Dia sayangkan Tottenham dan setiap orang mahu menang - kami, kelab, Daniel Levy (pengerusi), pemain, penyokong - setiap orang mahu menang dan mahu memenanginya di tempat yang anda sayang.

“Bagi Harry ia terlalu istimewa untuk memenangi kejuaraan dan trofi di Tottenham.”

Tottenham membenarkan pemain sayap Georges-Kevin Nkoudou menyertai Burnley secara pinjaman hingga hujung musim ini namun mereka masih belum mendapatkan khidmat mana-mana pemain bulan ini.

Kekurangan aktiviti pembelian mereka jauh berbeza dengan enam kelab utama Liga Perdana.

Manchester City dan Manchester United dilaporkan memburu penyerang Arsenal, Alexis Sanchez manakala Liverpool sudah membeli Virgil Van Dijk dan menjual Philippe Coutinho.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 9:39 AM