FEDERER
FEDERER

London: Bintang tenis Switzerland Roger Federer mempunyai peluang awal untuk menafikan dakwaan Novak Djokovic ‘tidak boleh dikalahkan’ apabila kedua-duanya bertemu pada perlawanan kedua round robin bagi Jelajah Akhir Dunia ATP hari ini.

Federer menewaskan Tomas Berdych 6-4, 6-2 untuk memulakan penampilan ke-14 berturut-turut dalam kejohanan terakhir musim semalam, beberapa jam selepas pemain nombor satu dunia Djokovic menumbangkan pemain nombor lapan dunia dari Jepun Kei Nishikori 6-1, 6-1.

Kedua-duanya dilihat berpeluang menduduki tangga teratas dalam kumpulan Stan Smith namun perlawanan ke-43 di antara mereka (kedua-duanya menang 21 perlawanan) dilihat bakal memutuskan siapa bakal mara ke suku akhir sebagai juara kumpulan.

Djokovic menang 23 perlawanan terakhirnya dan sukar dikalahkan sejak menjulang gelaran grand slam ketiga tahun ini dengan menewaskan Federer pada final Terbuka AS.

Ditanya jurang mata hampir 7,000 antara Djokovic dengan pemain lain dalam kedudukan ranking yang menjadi bukti kekebalan pemain Serbia itu, Federer enggan mengakuinya.

“Ia bergantung kepada siapa yang melihat jurang itu,” kata Federer yang menarik diri daripada perlawanan akhir menentang Djokovic tahun lalu akibat sakit belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:38 AM