FEDERER (kanan) mencium trofi jelajah ATP Basel di Switzerland.
FEDERER (kanan) mencium trofi jelajah ATP Basel di Switzerland.
AFP

Paris: Roger Federer bersaing sengit merebut status pemain nombor satu dunia dengan Novak Djokovic ketika tiba di kejohanan Masters Paris yang bermula semalam sebagai pemain paling hebat dalam jelajah.

Ketika saingan merebut status itu tidak akan berakhir hingga kejohanan terakhir musim, Arena Bercy akan menyaksikan peluang beberapa pemain layak menempah satu daripada lapan tiket ke pusingan akhir jelajah di London.

Pemenang 17 gelaran Grand Slam dari Switzerland itu memenangi kejuaraan karier ke-82 dan gelaran keenam di Basel kelmarin, membenam pemain Belgium, David Goffin 6-2, 6-2 sekali gus meneruskan rentetan kemenangan kepada 12 perlawanan dan rekod sepanjang tahun 66 kemenangan berbanding 10 kekalahan dalam Jelajah ATP.

Djokovic tidak beraksi beberapa minggu selepas isterinya melahirkan anak sulung mereka, seorang anak lelaki bernama Stefan minggu lalu, ketika perbezaan matanya dengan Federer kini kurang daripada 500 mata dengan 2,500 mata menjadi taruhan di Paris dan kejohanan penamat musim Pusingan Akhir Jelajah Dunia di London.

Selain itu, pemain berusia 33 tahun itu juga boleh meraih beberapa mata tambahan apabila turun beraksi pada final Piala Davis buat Switzerland menentang Perancis bermula 21 November ini di Lille.

“Ia pasti sesuatu yang amat istimewa merampas kembali status pemain nombor satu dunia,” jelas Federer.

“Kedudukan nombor satu menjadi saingan dalam permainan kami dan dengan jumlah final serta tempoh dan tahap permainan yang disertai, saya gembira kerana mampu bersaing kembali.

“Tapi bersaing merebut kedudukan itu dan menduduki tangga pertama dua perkara berbeza. Saya pasti Novak akan tampil penuh bermotivasi selepas menjadi seorang bapa. Saya amat gembira buatnya. Jelas beberapa minggu akan datang pasti menarik.”

Pemain nombor tiga dunia, Rafael Nadal tidak beraksi hingga hujung musim kerana akan menjalani pembedahan apendiks manakala pemain nombor dua Switzerland, Stanislas Wawrinka dijamin tempatnya di London manakala Marin Cilic dari Croatia, pemain ranking ketujuh layak secara automatik sebagai juara Terbuka AS.

Pemenang dua gelaran Grand Slam dari Britain, Andy Murray turut hadir ke Paris dengan prestasi memuncak selepas menundukkan Tommy Robredo dari Sepanyol 3-6, 7-6 (9/7), 7-6 (10/8) untuk memenangi Terbuka Valencia kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:08 AM