ADAM menerima bendera bersempena dengan perlumbaan terakhir beliau di Perlumbaan Moto3 pada MotoGP 2018 di Litar Sepang. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
ADAM menerima bendera bersempena dengan perlumbaan terakhir beliau di Perlumbaan Moto3 pada MotoGP 2018 di Litar Sepang. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani


SEPANG: “Saya akan ke sini (Litar Sepang dan Kejuaraan Motosikal Dunia ) balik dan terus berusaha gigih untuk mencapai apa yang saya inginkan”.

Itu rumusan pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin sebaik saja menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia dan juga mungkin yang terakhirnya sejak memulakan karier dalam kelas itu pada 2016.

Adam atau dikenali sebagai ‘Torete’ di Sepanyol, bakal menyertai saingan Kejuaraan Moto2 Eropah musim depan dan dia memberikan sepenuh keringatnya di depan peminat permotoran dua roda tanah air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

“Saya rasa ini perlumbaan Moto3 yang terakhir dan juga di laman sendiri,” kata pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu. “Saya hanya buat yang terbaik, banyak kali saya hampir ke podium tetapi kali ini saya berusaha begitu gigih.

“Tak kisah apa yang akan berlaku. Pada tiga pusingan terakhir, saya tak dapat rasa tangan belah kiri. Saya terlalu berusaha pada permulaan perlumbaan, akhirnya tak jangka terjatuh pada selekoh akhir itu.”

“Walau apapun, syukur alhamdulillah, saya harap lain kali saya akan ke podium dan juga tak akan menyerah kalah.

“Satu hari nanti, saya akan balik ke sini dan juga berusaha lebih gigih untuk mencari apa yang ingin saya capai.”

Biarpun bermula dari laluan pit selepas dikenakan penalti pada sesi kelayakan semalam, Adam tetap menunjukkan tunggangan menarik dengan pada satu ketika berada dalam kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh pada dua baki terakhir pusingan.

Bagaimanapun, Adam yang masih dibelenggu kesakitan susulan patah bahu dan koyak ligamen lutut di Motegi bulan lalu tetap meneruskan perlumbaan dan menemui garisan penamat di tempat ke-23 dengan catatan keseluruhan, 40’12.186s.

“Syukur alhamdulillah kepada Allah kerana memberi saya semangat lagi dan juga kemampuan untuk perlumbaan ini.

“Jujurnya saya memang tak larat, semalam memang hari yang sukar dengan kena bermula dari laluan pit. Keluarga, penaja, Datuk Razlan (Ketua Pegawai Eksekutif SIC) dan peminat banyak memberi sokongan serta motivasi untuk kejar kedudukan.

“Saya sudah lakukan apa yang termampu dan berupaya ke kelompok depan,” kata Adam yang mungkin tidak akan menyertai pusingan penutup musim 2018 di Valencia, 18 November ini bagi menjalani pembedahan susulan kecederaannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 1:03 PM