Adam Norrodin.
Adam Norrodin.
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Adam Norrodin memberi bayangan penyertaan sulungnya di Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) pada musim ini akan menjadi 'menarik' dengan adanya tiga lagi pelumba tempatan, Azlan Shah Kamaruzaman, Ramdan Rosli dan Kasma Daniel Kasmayudin.  

Biarpun berbeza pasukan, Adam menjangkakan persaingan sihat dapat dicetuskan selain mengumpul pengalaman berharga daripada pelumba lebih berpengalaman seperti Azlan Shah dan Ramdan dari pasukan TKKR Racing.  

"Azlan mempunyai pengalaman di Moto2 dan pernah beraksi di Kejuaraan Dunia (Moto2)... dia seorang pelumba berpengalaman dalam Moto2 ini," kata Adam yang mahu menjadikan CEV Moto2 sebagai pentas menimba pengalaman sebelum ke peringkat dunia.

Adam sebelum ini menyertai kelas Moto3 di kejuaraan Dunia dari tahun 2016 hingga tahun lalu dan namanya sering meniti di bibir peminat sukan permotoran dua roda yang mengingati kesungguhannya menolak jentera sehingga ke garisan penamat di Grand Prix (GP) Argentina, tiga tahun lalu.  

Pelumba yang kini berusia 21 tahun itu terjatuh pada selekoh akhir ketika bersaing sengit memburu penamat podium yang ketika itu dimenangi rakan senegara, Khairul Idham Pawi manakala dia menamatkan saingan di tempat ke-11.

Dan pada tahun lalu di GP Malaysia, Adam turut menunjukkan semangat juang tinggi apabila berlumba dalam keadaan fizikal kurang memuaskan selepas tulang bahunya patah dan ligamen lututnya koyak.

Pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu menamatkan perlumbaan di tempat ke-23 selepas bermula dari laluan pit dan mampu berada dalam kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh pada dua baki terakhir pusingan. Dia kemudiannya bangkit meneruskan perlumbaan dan menamatkan saingan dengan catatan, 40 minit 12.186 saat.

Selepas perlumbaan di Sepang, Adam menjalani pembedahan bagi merawat kecederaannya dan ketika ini dia sedang menjalani fisioterapi di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC).

"Bahu masih lagi baru (dibedah) tetapi lutut sudah lebih sebulan dan sekarang saya boleh berjalan secara normal selain boleh membengkokkan lutut hampir 100 peratus. Bagi saya, fisioterapi banyak membantu dalam proses pemulihan ini," kata Adam yang bakal bekerjasama dengan Kasma Daniel di CEV Moto2 nanti.

"Walaupun dia (Kasma) menyertai SIC (Litar Antarabangsa Sepang) tetapi dia akan berada di pasukan lain. Namun kami tetap berada dalam satu 'khemah' (SIC).

"Daripada situ, saya harap dapat saling bantu membantu kerana kami adalah pelumba Malaysia. Selain itu ada Azlan dan Ramdan, jadi ada empat rider Malaysia di CEV (Moto2) dan ia sesuatu yang menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:06 PM