ADAM melakukan sesi latihan di Sepang International Circuit, Sepang. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI
ADAM melakukan sesi latihan di Sepang International Circuit, Sepang. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI
Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani


SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin menamatkan sesi latihan bebas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di tempat ke-22 keseluruhan di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Pada awal sesi latihan bebas pertama pagi tadi, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mencatatkan 2 minit 25:794 saat (s) untuk berada di kelompok lima terbaik sebelum memperbaiki catatannya pada sesi petang dengan 2:15.741s.

Mengulas mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu pada kedua-dua sesi itu, Adam berkata, dia berpuashati dengan sesi pertama yang berlangsung dalam keadaan trek basah berbanding kering dan basah pada sesi selepas itu.

"Sesi latihan bebas pertama ada peningkatan (daripada sudut catatan masa sepusingan)," kata Adam. 

"(Trek) basah, tetapi saya tak tahu apa yang akan berlaku nanti, mungkin kelayakan akan basah atau perlumbaan basah.

"Saya hanya perlu bersedia, pada sesi pagi tadi, saya keluar awal dan cuba memperbaiki catatan masa sepusingan dan dapat tempat kelima.

"Pada sesi latihan bebas kedua saya mengharapkan kering, permulaannya kering tetapi pada percubaan pertama saya mengalami sedikit masalah jentera dan memasuki pit untuk ubah pelarasan. Saya keluar semula dan selepas itu tak dapat satu pun pusingan kerana hujan.

"Saya sedikit kecewa, tetapi saya ada perasaan yang baik dengan keadaan basah dan positif untuk esok. Saya akan terus perbaiki (catatan) untuk sesi kelayakan esok."

Tony Arbolino dari pasukan Marinelli Snipers Team mengungguli sesi keseluruhan latihan bebas hari ini dengan catatan 2:14.227s namun ia masih belum dapat memadamkan rekod terpantas sirkit dilakukan Adam tahun lalu, 2:12.775s.

John McPhee yang bakal menggantikan Adam tahun depan muncul kedua terpantas dengan 2:14.237s manakala penghuni tangga keenam keseluruhan ketika ini, Aron Canet  ketiga, 2:14.247s.

Rakan sepasukan Adam dari Jepun, Ayumu Sasaki berada di tempat ke-20 dengan catatan terbaiknya dilakukan pada sesi kedua 2:15.199s.

Selepas 17 pusingan musim, Adam ketika ini berada di tangga ke-20 keseluruhan dengan 46 mata manakala Sasaki ketinggalan satu mata di belakang rakan sepasukannya itu di tangga ke-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 4:10 PM