SASAKI (kiri) dan Adam (kanan) bergambar bersama selepas pelancaran pasukan tersebut di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. -Foto BERNAMA
SASAKI (kiri) dan Adam (kanan) bergambar bersama selepas pelancaran pasukan tersebut di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. -Foto BERNAMA
Sukhairi Thani


PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki menggalas misi besar bagi kempen Moto3 2018 apabila prestasi mereka tahun ini akan dinilai bagi mengisi slot di kelas perlumbaan pertengahan, Moto2 untuk musim 2019.

    Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, sasaran diletakkan pasukan adalah untuk melihat kedua-dua pelumba itu berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan.

    Katanya, sekiranya mampu mencapai sasaran, Adam ataupun Sasaki mempunyai peluang cerah untuk beraksi di kelas Moto2 yang kini diisi Zulfahmi Khairuddin bersama pasukan SIC Racing.

    “Harapan kami, bagi Adam sendiri adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik kerana untuk tahun ini, kami akan menilai prestasinya untuk ke Moto2.

    “Sama juga seperti Ayumu, kedua-duanya diletakkan sasaran yang sama. Sekiranya berhasil, untuk tahun 2019 mereka akan ke kelas seterusnya.

    “Untuk tempat Moto2 tahun ini, ia diisi Zulfahmi. Setakat ini, masih kekal satu tempat saja. Namun sekiranya Zulfahmi melakukan yang terbaik, kami mungkin menambah satu lagi tempat untuk musim 2019 namun buat masa ini masih tidak ada apa-apa keputusan lagi mengenainya,” kata Razlan kepada media selepas majlis memperkenalkan pasukan PETRONAS Sprinta Racing, hari ini.

    Sementara itu, Adam yang akan memasuki tahun ketiganya dalam kelas Moto3 tahun ini berkata: “Sasaran saya adalah berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan. Saya cabar diri sendiri dan apa yang utama, saya meletak sasaran untuk berada di podium tahun ini.”

    Rakan sepasukan Adam dari Jepun, Sasaki turut senada dan meletakkan sasaran untuk mencari penamat di podium pada tahun keduanya dalam kelas Moto3.

    “Kami gembira menjadi sebahagian daripada PETRONAS dan saya tidak sabar untuk saingan tahun ini. Tahun lalu adalah musim pertama saya dan kali ini, kami perlu berusaha lebih gigih dan berada di kelompok depan.

    “Secara peribadi, sasaran saya adalah podium, biarpun sukar tetapi saya akan terus berusaha gigih untuk mencapai sasaran itu,” kata Sasaki.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 7:21 PM