ADAM perlu bedah lutut erlebih dulu, mulai esok. FOTO/ADAM IG
ADAM perlu bedah lutut erlebih dulu, mulai esok. FOTO/ADAM IG
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Adam Norrodin bakal menjalani pembedahan di bahagian lutut terlebih dulu sebelum diikuti dengan bahu selepas menerima pandangan pihak pakar Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC).

Minggu lalu, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu dilaporkan akan menjalani pembedahan di bahagian bahu dan dalam tempoh enam minggu kemudian melakukan pembedahan kedua di lutut.

Namun selepas pelumba Moto3 negara itu didapati kurang sihat kerana demam, pihak pakar menyarankan supaya Adam melakukan pembedahan lutut terlebih dulu, mulai esok.

Adam kini berada di wad bersama pelumba muda, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang turut menjalani pembedahan di bahagian kaki kanan selepas mengalami insiden ngeri ketika beraksi dalam perlumbaan sokongan Grand Prix (GP) Malaysia, Asia Talent Cup, baru-baru ini.

Selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, Adam didapati beraksi dalam kedaan sakit di bahagian bahunya yang patah selain ligamen lututnya koyak.

Bagaimanapun, Adam yang berdepan cabaran penuh liku di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana harus memulakan perlumbaan dari laluan pit susulan dikenakan penalti, tetap mempamerkan tunggangan memberangsangkan.

Pada hari perlumbaan, Adam pada suatu ketika pernah berada dalam kelompok 10 terbaik sebelum terjatuh di baki dua pusingan terakhir.

Pelumba yang bakal menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah  musim depan itu bagaimanapun bangkit menamatkan saingan di tangga ke-23 dan tidak akan menyertai saingan akhir musim Moto3 Kejuaraan Dunia 2018 di GP Valencia, hujung minggu ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 7:34 PM