JUARA Moto3, Jorge Martin (tengah) bersama pemenang tempat kedua Aron Canet (kiri) dan Lorenzo Dalla Porta rai kejayaan di Doha, sebentar tadi.  - FOTO EPA-EFE
JUARA Moto3, Jorge Martin (tengah) bersama pemenang tempat kedua Aron Canet (kiri) dan Lorenzo Dalla Porta rai kejayaan di Doha, sebentar tadi. - FOTO EPA-EFE
Sukhairi Thani


PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki masing-masing mempamerkan tunggangan memberangsangkan pada perlumbaan pertama Moto3 musim 2018 di Grand Prix (GP) Qatar, sebentar tadi.

Pelumba dari Jepun, Sasaki berjaya menamatkan perlumbaan di tangga kelapan dengan catatan 38 minit 25.205 saat selepas memulakan saingan dari petak keempat.

Adam yang memasuki tahun ketiganya musim ini melintasi garisan penamat di tempat ke-11 dengan catatan 38'25.960s sekali gus berjaya mengutip lima mata berharga di Litar Losail.

“Keputusan tidak begitu teruk kerana kami bermula dari petak ke-17,” kata Adam. “Permulaan yang tak begitu baik mungkin kerana sedikit gementar.

“Saya tercicir di awal pusingan dan perlumbaan agak sengit kerana semua pelumba berusaha gigih untuk pusingan pertama musim.

“Di baki pusingan terakhir, saya tahu yang posisi tidak begitu memberangsangkan dan ia akan menjadi lebih baik sekiranya memperoleh permulaan yang bagus.

“Kami tahu di mana kesilapan dan saya akan berusaha bagi mendapatkan keputusan lebih baik pada perlumbaan akan datang.”

Perlumbaan pembuka tirai bagi kelas Moto3 dimenangi Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini Moto3 dengan catatan terpantas, 38'18.207s.

Pusingan kedua musim 2018 dijadual berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina pada 8 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 11:00 PM