PENYOKONG Terengganu berasak untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di Perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO/GHAZALI KORI
PENYOKONG Terengganu berasak untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di Perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO/GHAZALI KORI
Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar


KUALA TERENGGANU: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Said mengecam cara persatuan itu menguruskan jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Terengganu dan Perak.

Beliau berkata, kemungkinan ada pihak dipertanggungjawabkan menguruskan hal itu menggunakan orang tengah yang membeli secara pukal sebelum menjual tiket di pasaran gelap untuk mendapat untung berlipat ganda.

"Cara persatuan (PBSNT) menjual tiket, saya syak pihak yang menguruskannya menggunakan cara tidak betul.

"Sebab, kalau ada lebih kurang 30,000 tiket, bukan satu dua jam sudah habis tiket. Mungkin yang menjual guna orang lain iaitu orang tengah yang beli banyak dan jual untuk dapat habuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari santai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Badan Perhubungan UMNO Terengganu serta bekas pemimpin UMNO Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar turut menempelak tindakan PBSNT yang hanya membuka satu kaunter jualan dan menjual hanya 2,000 tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong memandangkan persatuan mendapat peruntukan 30,000 tiket.

"Orang beribu-ribu, satu kaunter saja dibuka... takkan tak boleh fikir dah berpuluh tahun pengalaman.

"Bukalah 10 kaunter dan boleh buka satu saluran untuk wanita saja. Saya perhatikan benda ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 8:05 PM