TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Karim (kanan) bersalaman dengan pemain TFC yang berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang pasukan Perak di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Karim (kanan) bersalaman dengan pemain TFC yang berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang pasukan Perak di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Zaid Salim


KUALA NERUS: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan dakwaan pengagihan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia berkait dengan kepentingan politik.

Timbalan Presidennya Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan membuat bedah siasat mengenai isu pengagihan tiket perlawanan itu yang mengundang kemarahan penyokong Terengganu FC (TFC).

Hishamuddin berkata, PBSNT menerima sebanyak 30,000 keping tiket daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengagihan sudah dibuat ke setiap daerah menerusi persatuan dan kelab bola sepak masing-masing. 

Katanya, pengagihan juga dibuat kepada kelab penyokong, akademi sukan dan syarikat bukan kerajaan (GLC) selain TFC sendiri yang semuanya sebanyak 28,000 dan baki 2,000 keping dijual di kaunter tiket Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSIN) di sini, pagi tadi. 

"Kita bersikap telus dan sudah memaklumkan lebih awal hanya 2,000 tiket akan dijual di kaunter dengan harapan sebilangan besar penyokong sudah memperoleh tiket yang dijual persatuan dan kelab bola sepak di daerah masing-masing," kata Hishamuddin kepada media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, selepas mengiringi pasukan TFC berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini. 

"Bagaimanapun kita tidak tahu bagaimana kaedah kelab penyokong mengagihkan tiket berkenaan sama ada dibuat secara telus atau sebaliknya.”

Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, pihaknya akan mengkaji semula kaedah dan taktikal penjualan tiket untuk masa hadapan dan kesal apabila ada penyokong sudah memperoleh tiket lebih awal sebelum ia dijual pagi ini.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan sudah mengarahkan jawatankuasa pengurusan tiket membuat laporan lengkap berhubung penjualan dan pengagihan tiket.

"Sekiranya terdapat unsur tidak telus, tidak mustahil kita akan membabitkan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan. 

"Sekiranya kaedah ini dilihat tidak telus, kita akan mencari satu kaedah baru dengan mewujudkan pusat penjualan tiket setempat yang akan dikendalikan pihak berkecuali sebagai contoh pejabat daerah di setiap daerah untuk masa akan datang," katanya. 

Hishamuddin meminta penyokong berlapang dada dan terus memberi sokongan kepada TFC bagi memenuhi impian menjulang piala berprestij itu buat kali kedua selepas berjaya melakukannya pada 2001.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:32 PM