NORZA (kanan) dan Azam (dua dari kiri) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Hafiz Sohaimi
NORZA (kanan) dan Azam (dua dari kiri) pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Hafiz Sohaimi
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tindakan akan diambil Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) ke atas dua pemain perseorangan lelaki profesional negara yang didapati bersalah mengatur perlawanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya tidak akan menjalankan siasatan berhubung kes membabitkan Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang itu kerana ia berlaku di luar negara.

 

“Pihak saya tidak membuka kertas siasatan terhadap kes ini kerana BWF sudah pun mengambil tindakan dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia)  juga sudah ambil tindakan sewajarnya.

 

“Selain itu, kesalahan ini berlaku di luar negara dan bagi kami, jika mahu melakukan siasatan sama ada ia rasuah atau tidak, keterangan yang kami perlukan itu tidak begitu jelas.

 

“Jadi, sebaik-baiknya biarlah ia diselesaikan secara dalaman oleh BWF dan BAM,” kata Azam.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah yang dianjurkan BAM membabitkan pengurusan, pegawai, jurulatih serta pemain badminton negara di Auditorium Akademi Badminton Malaysia Bukita Kiara, pagi ini.

 

Zulfadli dan Chun Seang masing-masing dikenakan penggantungan selama 20 dan 15 tahun daripada menyertai sebarang aktiviti badminton oleh BWF, kerana didapati bersalah mengatur perlawanan.

 

Mereka juga dikenakan denda sebanyak AS$25,000 (RM103,890) dan AS$15,000 (RM62,351). Kedua-duanya menerusi peguam masing-masing sudah mengemukakan rayuan kepada BWF.

 

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika mengulas mengenai Majlis Ikrar Bebas Rasuah, berkata ia membuktikan betapa badan induk itu serius bagi membentera gejala tidak bermoral berkenaan.

 

“Ini adalah permulaan bagi kerjasama BAM dan SPRM bagi membanteras gejala rasuah. BAM akan menghantar senarai nama pegawai, jurulatih dan pemain kepada SPRM supaya mereka sedar bahawa pergerakan mereka dipantau SPRM.

 

“Majlis hari ini bukan diadakan sekadar ada saja, sebaliknya kami serius untuk membanteras gejala rasuah.

“Sebelum ini pun, BWF mengenakan hukuman ke atas dua pemain Malaysia dan Jawatankuasa Disiplin dan Peraturan juga sudah mengadakan siasatan berhubung masalah disiplin pemain kita,” kaa Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 12:06 PM