MOHAMAD NORZA ZAKARIA
MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Helmi Talkah


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia mengadakan perbincangan berhubung bentuk bantuan yang diperlukan pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli selepas dikenakan hukuman gantung 20 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana didapati bersalah mengatur perlawanan.

Selain hukuman gantung, pemain berusia 25 tahun itu turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM98,358).

Zulfadli dalam sidang medianya hari ini meminta pertolongan daripada Kementerian Belia dan Sukan dan BAM selepas menyifatkan dia menjadi mangsa penindasan BWF apabila menegaskan tidak pernah terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyarankan supaya Zulfadli berhubung dengan Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai atau Pengurus Besar BAM, Michelle Chai bagi perbincangan lanjut.

“Saya sarankan Zulfadli berhubung secara rasmi dengan BAM atau menulis surat mengenai bantuan yang diperlukan dalam kes ini. BAM sentiasa mengamalkan dasar terbuka.

“Namun, sebelum apa-apa keputusan, kami juga perlu mendengar penjelasan Zulfadli dan selepas itu kami akan buat penilaian. Kami juga mahu tahu bentuk bantuan yang diperlukannya,” kata Norza ketika dihubungi hari ini.

Mengikut peraturan BWF, Zulfadli boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang diterimanya dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan diumumkan tetapi perlu menjelaskan denda terlebih dahulu.

Selain Zulfadli, turut dihukum seorang lagi pemain profesional, Tan Chun Seang yang dikenakan hukuman gantung selama 15 tahun dan denda AS$15,000 (RM59,014).

Menurut laporan tiga panel bebas dilantik BWF bagi mengadili kes itu, Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 pertaruhan dan mengatur perlawanan manakala Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012.

Tiga panel itu diketuai James Kitching selain Sylvia Schenk dan Annabel Pennefather yang mengadili sesi pendengaran di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 5:41 PM