PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria. FOTO Luqman Hakim Zubir
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria. FOTO Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli sudah memohon bantuan selepas dikenakan hukuman gantung 20 tahun dan denda AS$25,000 (RM98,537) oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana didapati bersalah mengatur perlawanan. 

Dalam surat permohonan rasmi yang diserahkan Zulfadli sendiri di pejabat BAM hari ini, pemain berusia 25 tahun itu meminta badan induk berkenaan membantunya mempermudahkan proses rayuan termasuk pembayaran denda selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penindasan BWF kerana menjatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh. 

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji kes berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada boleh membantu atau sebaliknya. 

"Kami sudah terima surat permohonan rasmi daripada Zulfadli hari ini. Kami perlu meneliti dulu perkara ini kerana ia kes yang serius dan pastinya mengambil sedikit masa. 

"Saya akan meminta Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin yang dipengerusikan Datuk Seri Jabaherdeen Mohamed Yunoos untuk meneliti dan mengkaji kes ini. Apa yang saya boleh katakan, ia bukan mudah, kami perlukan masa," kata Norza ketika dihubungi, hari ini.

 Zulfadli ketika sidang medianya, Jumaat lalu merayu pertolongan BAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penindasan BWF yang menjatuhkan hukuman tanpa bukti yang kukuh. 

Selain Zulfadli, seorang lagi pemain profesional negara, Tan Chun Seang turut didapati bersalah dan dikenakan hukuman gantung selama 15 tahun serta denda AS$15,000 (RM59,122).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:54 PM