ATLET olahraga, Eddy Bernard mengungguli acara lompat jauh lelaki T44, T62/64 (cacat anggota kaki). FOTO Bernama
ATLET olahraga, Eddy Bernard mengungguli acara lompat jauh lelaki T44, T62/64 (cacat anggota kaki). FOTO Bernama
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Kejayaan atlet olahraga Eddy Bernard mengungguli acara lompat jauh lelaki T44, T62/64 (cacat anggota kaki) sebentar tadi membantu Malaysia mencapai sasaran meraih 15 pingat emas pada Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Atlet muda berusia 17 tahun itu melakukan lompatan sejauh 6.30 meter pada percubaan kelima bagi membolehkannya meraih pingat emas manakala Maththaka Gamage Nuwan Indika dari Sri Lanka merangkul perak (6.09m) diikuti wakil tuan rumah, Rasyidi Rasyidi (6.05m).

Satu lagi pingat emas kontinjen negara pada hari ketujuh disumbang oleh jaguh olahraga Ziyad Zolkefli, yang memenangi acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).

Bekas peniaga kuetiau di Jalan Tunku Abdul Rahman itu melakukan lontaran sejauh 16.94 meter pada percubaan keenam untuk memecahkan rekod temasya 15.31m dibuatnya di Incheon 2014.

Ziyad muncul juara apabila menewaskan rakan senegara, Alif Awi yang merangkul perak dengan catatan 13.09m, manakala atlet Thailand, Sanepoot Boonkong menang gangsa (13.01m).

Lima lagi pingat perak disumbang oleh Haisham Ashraf menerusi acara olahraga 1,500 meter lelaki T45/46; dua daripada acara boling padang, satu perseorangan badminton para lelaki SS6 (kerdil) dan satu lagi menerusi acara basikal kejar mengejar individu lelaki 4,000 meter (4km) C4.

Hingga jam 8.30 malam ini, Malaysia mengumpul 15 pingat emas, 24 perak dan 21 gangsa dengan banyak lagi acara dijangka menjanjikan pingat emas kepada kontinjen negara esok.

Jumlah 15 emas itu menyamai pencapaian kontinjen negara pada Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 10:43 PM