ZIYAD (tengah) memenangi pingat emas acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran) dengan lontaran 15.93m. FOTO IHSAN MAJLIS SUKAN NEGARA
ZIYAD (tengah) memenangi pingat emas acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran) dengan lontaran 15.93m. FOTO IHSAN MAJLIS SUKAN NEGARA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kontinjen para negara mengakhiri saingan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2023 dengan menggondol tiga pingat emas apabila dua lagi disumbangkan Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly, semalam.

Isnin lalu, pelari para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menghadirkan emas sulung dalam 100 meter (m) T35/36 (kecacatan fizikal).

Semalam, Ziyad dan Latif pula membuktikan kemampuan masing-masing di Stadium Olahraga Rades, Tunisia.

Ziyad yang juga pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 dan 2017 dan menyertai acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran) meraih emas dengan lontaran sejauh 15.93 meter (m).

Lontaran bertenaga itu mengenepikan pesaing dari Uzbekistan, Elbek Sultanov yang membuat catatan 14.16m manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Amir Soltane (10.51m).

Latif yang pernah menjadi juara Paralimpik sebanyak dua kali pada 2016 dan 2020, nyata unggul apabila mencatatkan lompatan sejauh 6.90m menerusi acara lompat jauh T13/20 (masalah intelektual) untuk mengetepikan pencabar dari Arab Saudi, Hassan Dawshi yang melakukan lompatan 6.08m untuk meraih perak.

Mohamed Camara dari Guinea berpuas hati dengan gangsa selepas mencatatkan lompatan 5.12m.

Selain tiga emas, pasukan para olahraga negara turut meraih satu perak melalui Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah dalam acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan catatan 11.67s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 4:30 PM