CHEE TEAN maut akibat terbabit dalam kemalangan pada 28 September lalu. -Foto fail
CHEE TEAN maut akibat terbabit dalam kemalangan pada 28 September lalu. -Foto fail
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Ucapan takziah dan perpisahan kawan rapat serta bekas rakan sepasukan bertalu-talu ditujukan kepada bekas pemain badminton negara, Tan Chee Tean yang meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan pada 28 September lalu.

Pemain berusia 24 tahun kelahiran Kedah itu terbabit dalam kemalangan ketika sedang memandu kereta selepas beraksi di Terbuka Czech di Selatan Brno.

Dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas pemain beregu lelaki dan campuran itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, dua lagi pemain turut berada di dalam kereta berkenaan dan mereka sekarang ini sedang dirawat selepas mengalami kecederaan serius.

Difahamkan, Chee Tean dalam perjalanan pulang ke Austria, selepas dia beraksi di Terbuka Czech sebagai pemain profesional.

Chee Tean, yang berada di bawah BAM selama enam tahun sejak 2012, meninggalkan badan induk berkenaan Februari lalu.

“Kami menerimanya sebagai seorang abang di dalam keluarga badminton. Dia seorang yang bercita-cita tinggi.

“Dia juga sentiasa memberi nasihat dan saya sangat gembira, apabila dia memberitahu mahu berhijrah ke Austria untuk menyambung belajar sambil bermain badminton. Semuanya berjalan lancar buatnya.

“Kami akan sentiasa mengingatinya. Semoga aman di sana sahabatku. Salam takziah buat keluarga mendiang,” kata bekas pemain beregu wanita negara, Erica Khoo yang sekarang ini menjadi pegawai pembangunan di Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bekas rakan segandingannya dalam beregu lelaki, Tan Wee Gieen, bagaikan tidak dapat menerima berita buruk berkenaan.

“Sangat sukar untuk dipercayai. Malah dia sempat melawat kami di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bulan lalu untuk memberitahu perancangannya untuk berpangkalan di Austria.

“Sebagai rakan segandingan, kami mempunyai hubungan sangat rapat. Kami sering lepak bersama ketika di luar gelanggang. Semoga tenang di sana sahabatku,” kata Wee Gieen.

Pemain beregu campuran negara, Shevon Lai, yang sekarang ini menduduki ranking kelapan dunia bersama Goh Soon Huat berkata, sukar untuk diluahkan dengan kata-kata mengenai perasaan mereka.

“Saya masih tidak boleh percaya mengenai berita kehilangannya. Saya minta maaf, sukar untuk diluahkan dengan kata-kata,” kata Shevon yang bergandingan bersama Chee Tean termasuk ketika meraih tempat kedua Cabaran Antarabangsa Thailand pada 2015.

Di Terbuka Czech minggu lalu, Chee Tean bergandingan bersama pemain Austria, Antonia Meinke dan mereka tumpas pusingan pertama.

Antonia turut terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 6:23 PM