PRESIDEN Persatuan Badminton Kedah, Datuk Teoh Teng Chor. FOTO Asyraf Hamzah
PRESIDEN Persatuan Badminton Kedah, Datuk Teoh Teng Chor. FOTO Asyraf Hamzah
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Kedah (KBA) akan memberi bantuan kepada keluarga bekas pemain kebangsaan, Tan Chee Tean yang maut akibat kemalangan.

Chee Tean, 24, meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dia bersama dua lagi pemain dari Austria, Antonia Meinke dan Jenny Ertl terbabit dengan kemalangan jalan raya di selatan Brno, Republik Czech.

Bekas pemain beregu campuran itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa cedera.

Mereka dalam perjalanan pulang ke Austria selepas beraksi pada Cabaran Antarabangsa Terbuka Republik Czech.

Presiden KBA, Datuk Teoh Teng Chor ketika dihubungi, hari ini berkata: "Kami sedang melakukan semua yang kami mampu untuk membantu keluarganya (Chee Tean) terutama dalam urusan membawa pulang jenazah mendiang.

"Kakak Chee Tean (Wendy Tan) bersama dua lagi bekas pemain (Lim Kenn dan Tan Kuan) akan berlepas ke Vienna esok dan akan memberikan perkembangan semasa," katanya.

Pemain berasal dari Kedah itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Februari lalu selepas bersama badan induk itu sejak 2012.

Difahamkan, dia berada di Austria bagi melanjutkan pengajian selain menjadi jurulatih dan pemain profesional.

Berita mengenai kematiannya mendapat perhatian peminat tempatan terutama bekas rakan sepasukannya yang sukar menerima hakikat pemain itu sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 8:48 PM