AFP

ISTANBUL: Akhbar Turki mendakwa negara itu ditelah ditikam dari belakang selepas UEFA memilih Jerman sebagai penganjur Kejohanan Euro 2024 dan menghala kritikan pedas ke atas presidennya, Aleksander Ceferin.

Bagaimanapun pemimpin di Turki setakat ini masih membisu mengenai keputusan UEFA. Hanya Menteri Sukan Muharrem Kasapoglu yang berpendapat negara itu tidak hilang apa-apapun.

Tetapi akhbar negara itu meluahkan rasa kecewa apabila kegagalan itu adalah yang keempat dalam usaha Turki membida tuan rumah Euro.

"Tidak adil. UEFA menyokong perkauman,” kata akhbar Yeni Safak, penyokong kuat Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sambil merujuk isu pemain Jerman berketurunan Turki Mesut Ozil yang enggan menyarung lagi jersi negara itu ekoran serangan mental berbaur perkauman selepas dia bertemu Erdogan.

"UEFA sepatutnya tegas mengenai diskriminasi dan perkauman tetapi bertindak sebaliknya apabila memilih Jerman yang dibayangi perkauman,” kata akhbar itu.

"Tiada perubahan dalam kalangan mereka” kata akhbar harian Turkiye. "Turki kecewa buat kali keempat.”

"Kami tidak kalah, Eropah yang kalah,” kata akhbar Takwim.Sports Fotomac yang menyifatkan undian itu sebagai permainan kotor.

UEFA pula dalam laporan penilaian mereka mengakui terdapat beberapa aspek positif dalam bidaan Turki tetapi turut mengandungi risiko termasuk kekurangan pelan tindakan hak asasi manusia.

Kekecewaan Turki itu menyusul selepas Istanbul tewas kepada Jepun pada 2013 dalam bidaan menjadi penganjur Olimpik 2020. Turki kini mengimpikan untuk menjadi penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di bandar Erzurum.

Akhbar dimiliki Kumpulan Demiroren yang dipengerusikan Yildirim Demiroren yang juga Presiden Persekutuan Bolasepak Turki (TFF) mengkritik keras bos UEFA, Ceferin.

"Dia menikam kami dari belakang dan kami kalah dalam satu malam,” kata akhbar Milliyet sambil mendakwa Ceferin mempengaruhi ahli jawatankuasa bagi membolehkan kelebihan awal 9-7 dimiliki Turki bertukar 4-12 yang mengecewakan negara itu.

"Itu adalah operasi Jerman dari Ceferin,” kata Fanatik, akhbar harian sukan Kumpulan Demiroren.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 12:24 AM