CEFERIN (kanan) berucap pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif EUFA di Kiev, hari ini. FOTO AFP
CEFERIN (kanan) berucap pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif EUFA di Kiev, hari ini. FOTO AFP
AFP

STADIUM Olimpik Ataturk, Istanbul akan menjadi tuan rumah final Liga Juara-Juara 2020, kata Presiden UEFA Aleksander Ceferin di Kiev, hari ini.

Stadium berkapasiti 76,000 penonton menjadi stadium yang menyaksikan kebangkitan Liverpool daripada 0-3 untuk menjuarai Liga Juara-Juara menerusi penalti ke atas AC Milan pada 2005.

Final Piala Europa 2020 pula akan diadakan di Gdansk, Poland, manakala Piala Super UEFA bakal dilangsungkan di laman Porto Estadio Dragao.

Vienna akan menjadi tuan rumah final Liga Juara-Juara wanita 2020.

UEFA berdepan tekanan untuk memastikan bandar tuan rumah selepas ini mempunyai kemudahan hotel dan lapangan terbang untuk menampung kemasukan peminat, delegasi dan media untuk aksi terhebat dalam bola sepak peringkat kelab.

Liverpool membuat aduan kepada UEFA selepas peminat mereka berdepan masalah penginapan dan kos pengangkutan untuk pertembungan final berdepan juara bertahan Real Madrid di Kiev, bandar yang turut menjadi penganjur final Euro 2012.

“Mereka tidak mempunyai kemudahan lapangan terbang dan kemampuan hotel menampung pengunjung untuk berdepan kejohanan sebesar ini dan tiada bandar utama yang berdekatan dengannya,” kata Ketua Eksekutif Liverpool Peter Moore kepada akhbar Liverpool Echo.

“Ia bukan saja menjejaskan peminat Liverpool tetapi juga peminat Real Madrid. Ada sesuatu yang kami pelajari dari sini dan kami sudah membawanya ke pengetahuan UEFA.” -AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 10:37 PM