ERDOGAN anggap keputusan Uefa berbaur politik.
ERDOGAN anggap keputusan Uefa berbaur politik.
AFP

Istanbul: Presiden Recep Tayyip Erdogan membidas keputusan Uefa yang memindahkan venue final Liga Juara-Juara dari Istanbul ke Porto dan menganggapnya berbaur politik.

"Pada pandangan saya, mereka membuat keputusan politik," kata Erdogan dalam ucapannya di stesen televisyen tempatan.

"Saya anggapnya politik kerana kami diberitahu dua tahun lalu final Liga Juara-Juara berlangsung di Turki," katanya.

Uefa mengumumkan final Manchester City dan Chelsea bulan ini akan berlangsung di Porto dan bukan Istanbul dengan alasan memudahkan penyokong Inggeris menyaksikan perlawanan.

Pengumuman itu selepas kerajaan UK meletakkan Turki dalam senarai merah penerbangan susulan pandemik koronavirus.

Erdogan berkata perubahan venue itu dilakukan selepas 'dua pasukan daripada Liga Inggeris menang hak beraksi di final."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 9:36 AM