JUARA Kejohanan Golf CIMB Peringkat Kebangsaan 2018, Kim Leun Kwang pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf CIMB Peringkat Kebangsaan 2018 di TPC KL. FOTO Mahzir Mat Isa
JUARA Kejohanan Golf CIMB Peringkat Kebangsaan 2018, Kim Leun Kwang pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf CIMB Peringkat Kebangsaan 2018 di TPC KL. FOTO Mahzir Mat Isa
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Kim Leun Kwang meraih kemenangan penuh emosi apabila muncul juara Kejohanan Golf Kebangsaan CIMB - kejuaraan pertamanya sejak bergerak secara profesional enam tahun lalu - selepas aksi pusingan akhir di Kelab Pemain Perlawanan (TPC), hari ini.

Ia kemenangan yang penuh dramatik apabila menyaksikan Leun Kwang yang mendahului dengan kelebihan tiga pukulan selepas tamat tiga pusingan dipaksa beraksi di saingan penentuan oleh Amir Nazrin Jailani.

Leun Kwang merakamkan satu di bawah par 70 manakala Amir mencatat empat di bawah 67 dalam aksi pusingan akhir sekali gus menyaksikan kedua-dua pemain menamatkan saingan sebenar dengan 12 di bawah 272.

Bagaimanapun, bogey berganda yang dilakukan Amir pada aksi penentuan yang berlangsung di lubang ke-18 membolehkan Leun Kwang membawa pulang wang tunai RM30,000 dan mengesahkan slot ke CIMB Classic bulan depan.

"Ia sangat gila kerana Amir bermain sangat baik hari ini dan memberi cabaran yang sukar untuk saya. Saya sebenarnya lebih bernasib baik, saya simpati dengan Amir tetapi saya gembira berjaya layak ke saingan CIMB Classic," kata pemain berusia 23 tahun itu.

"Ia kejayaan yang cukup bermakna untuk saya, saya cuba mencari kemenangan pertama saya untuk beberapa waktu dan akhirnya saya berjaya melakukannya. Ia tempoh yang cukup lama dan saya berdepan kesukaran tetapi saya tahu saya akan meraihnya suatu hari nanti."

Sementara itu, Gavin Green kemungkinan besar menjadi seorang lagi pemain Malaysia yang akan mewakili negara berdasarkan kedudukan ranking dunianya.

Ia akan disahkan apabila ranking dunia dikemaskini Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 8:51 PM