SETIAUSAHA Agong FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
SETIAUSAHA Agong FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Mahzir Mat Isa
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan segala urusan jualan tiket berjalan lebih lancar pada baki perlawanan kejohanan bawah 16 (B-16) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.

Ia termasuk saingan membabitkan skuad B-16 kebangsaan kendalian Lim Teong Kim pada aksi bertemu Jepun di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu ini.

FAM bersama AFC meninjau ke Stadium Nasional petang tadi sebagai langkah awal meningkatkan sistem jualan tiket dan memastikan kemasukan penonton ke stadium berjalan lancar untuk baki perlawanan Kejuaraan AFC B-16 selepas ini.

Mengenai isu tiket ketika aksi Malaysia berdepan Thailand pada Ahad lalu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, segala urusan penjualan tiket berjalan lancar pada awalnya dengan kaunter tiket dibuka seawal jam 12 tengah hari.

Katanya, enam kaunter tiket juga disediakan dan 10 pintu masuk dibuka, namun jumlah peminat yang beratur di kaunter bertambah dengan mendadak sejurus sebelum sepak mula pada jam 4.30 petang.

“Sehubungan itu, FAM akan mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya bukan saja bagi Kejohanan B-16 AFC, malah perlawanan antarabangsa lain pada masa akan datang demi memastikan keselesaan dan kelancaran penyokong ke stadium.

“Antara lain, FAM akan memaparkan info grafik berhubung maklumat penjualan tiket dan juga pintu masuk ke stadium bagi perlawanan Rabu ini di akaun sosial rasmi FAM bagi memastikan kesemua penyokong Harimau Malaya mendapat maklumat dengan jelas dan tepat.

“Selain itu, FAM juga ingin menasihatkan penyokong Harimau Malaya supaya merancang perjalanan dan hadir lebih awal ke stadium pada Rabu ini bagi mengelak kesesakan dan seterusnya boleh membawa kepada kelewatan untuk masuk ke dalam stadium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:31 PM