PENYOKONG Kedah beratur dari awal pagi untuk membeli  tiket perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala Malaysia diantara Kedah menentang Felda United malam ini di Stadium  Darul Aman. -Foto SHARUL HAFIZ ZAM
PENYOKONG Kedah beratur dari awal pagi untuk membeli tiket perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala Malaysia diantara Kedah menentang Felda United malam ini di Stadium Darul Aman. -Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Izzali Ismail

LEBIH 8,000 penyokong beratur di empat kaunter tiket yang dikhaskan di Stadium Darul Aman sejak awal pagi termasuk sebilangan penyokong tegar yang berkampung sejak semalam bagi mendapatkan tiket aksi perlawanan separuh akhir TM Piala Malaysia Kedah menentang FELDA United malam ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar, proses pembelian tiket oleh penyokong berjalan dengan lancar dan teratur kali ini.

“Hasil daripada program yang diperkenalkan oleh KFA dengan meletakkan beberapa sukarelawan yang terdiri daripada kelab-kelab penyokong serta petugas keselamatan di setiap kaunter tiket, penjualan berjalan dengan lancar dan teratur tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” kata Shaharol Niza.

“Pembeli sudah berdisiplin dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh KFA hasil daripada sistem yang kita perkenalkan dan saya rasa ini sesuatu yang sangat positif.

“Penjualan tiket online sudah dibuka dua minggu awal dan 5 ribu keping tiket terjual sebelum ini. Saya jangkakan penyokong sudah membuat persediaan rapi dalam urusan pembelian tiket PAFA kali ini.

“Pembaharuan yang disusun oleh KFA seperti meletakkan petugas dan 50 sukarelawan yang mewakili kelab penyokong turut berjaya mengelak ulat tiket daripada berleluasa.

“Kita akan buka pintu masuk ke Stadium bermula jam 6.30 petang dan kita jangkakan proses kemasukan penyokong ini juga akan berjalan lancar selama dua jam sehingga perlawanan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 3:08 PM