Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 kaunter jualan tiket dibuka semalam, menjelang pertemuan Malaysia dan Thailand pada aksi final kedua Piala AFF 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Tinjauan Harian Metro di kaunter penjualan tiket yang dibuka sejak 9 pagi itu berjalan lancar selain lapan kaunter turut dibuka bagi penyokong menebus tiket dibeli secara dalam talian.

Seramai 3,000 anggota polis turut berada di stadium untuk mendengar taklimat terakhir sebelum ditugaskan mengawal di stadium untuk memastikan keadaan keselamatan terkawal.

Rata-rata peminat yang ditemui menyatakan Harimau Malaya masih berpeluang mengejutkan Thailand biarpun pasukan itu memiliki kelebihan dua gol.

Bagi Masyede Yakin, 35, dia bersama tiga lagi rakan sekerja dari Melaka tiba di stadium jam 8.30 pagi untuk membeli tiket.

“Kami masih belum tidur selepas bekerja syif malam. Tiada yang mustahil, pasukan kebangsaan mampu memberi saingan sengit,” katanya.

Jelasnya, penonton dijangka akan penuh pada perlawanan akhir itu bagi memberikan sokongan padu untuk memastikan Malaysia muncul juara selepas memenangi piala sama pada 2010.

Seorang lagi penyokong Ahmad Azlan Abd Aziz, 53, berkata, dia sudah mendapatkan tiket untuk membawa anak lelakinya yang tiba dari Amerika Syarikat.

“Saya tidak pernah terlepas menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Harimau Malaya dan diharap keputusan di laman sendiri ini akan memihak kepada pasukan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:11 AM