Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia yang sedang bersaing di Sukan Perpaduan Negara-negara Islam keempat di Baku, Azerbaijan tidak meletakkan sebarang sasaran pingat.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, temasya berkenaan ber
mula dari 12 hingga 22 Mei, sebaliknya bertujuan memberikan pengalaman kepada atlet untuk menghadapi Sukan SEA pada Ogos nanti.

“Bagi edisi kali ini, Malaysia tidak mensasarkan sebarang pingat kerana kita hanya menghantar atlet pelapis terutama bagi sukan olahraga dan renang yang cemerlang menyumbang pingat pada edisi 2013.

“Temasya ini turut digunakan sebagai medan pendedahan kepada atlet yang baru pulih daripada kecederaan seperti atlet renang Daniel Bego (gambar) dan atlet karate Syakilla Salni Jefry Krisnan,” kata Ahmad Shapawi yang juga Chef de Mission (CDM) kontinjen negara.

Malaysia menghantar 32 atlet yang bersaing dalam tujuh jenis sukan - olahraga, renang, tinju, karate-do, judo, tenis dan angkat berat.

Ahmad Shapawi menambah, kontinjen negara kecil kerana mengambil kira beberapa faktor termasuk kos, waktu perjalanan yang panjang serta pertindihan jadual pertandingan serta latihan atlet elit negara.

Pada edisi 2013 di Palembang, Indonesia, kontinjen Malaysia yang membabitkan 191 pegawai dan atlet mengutip 26 emas menerusi 10 jenis sukan dengan renang menyumbang 12.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:07 AM