JEPUN mudah menewaskan Jepun dengan 5-2. FOTO/AFC
JEPUN mudah menewaskan Jepun dengan 5-2. FOTO/AFC
Syafiq Aznan


AWAS Malaysia! Kekalahan 2-5 dialami jaguh Asia Tenggara, Thailand di tangan Jepun malam tadi memberi isyarat betapa Malaysia bakal berdepan tentangan lebih sukar pada aksi membabitkan dua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Selepas gagal mengutip mata pada perlawanan pertama , skuad Gajah Perang itu dilihat terdesak dan kegagalan mengutip mata penuh ke atas Malaysia bakal menyaksikan mereka mungkin pulang awal pada kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kali ini.

Justeru, jurulatihnya, Thongchai Rungreangleas menggesa anak buahnya supaya segera melupakan kekecewaan di tangan Jepun dan kembali fokus pada aksi menentang Malaysia.

“Ini bukanlah keputusan yang kami mahukan tetapi masih ada dua lagi perlawanan akan diharungi. Jadi masih ada mata yang boleh kami kutip untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Tidak mudah untuk mara ke Piala Dunia. Jadi kami akan kembali berlatih untuk melakukan persiapan dan merencana perancangan yang sebaiknya bagi berdepan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi di Arena Universiti Malaya (UM), malam tadi, Thailand mengejutkan Jepun seawal minit pertama menerusi jaringan Waragon Thongbai sebelum Ryotaro Araki mengikat kedudukan lima minit berselang.

Aksi separuh masa pertama terus rancak selepas empat lagi gol dapat disaksikan apabila Jepun mendahului hasil jaringan Kuraba Honda (m8) namun Thailand kembali mengikat kedudukan menerusi penyudah Supanat Mueanta (m15).

Araki kembali meletakkan Jepun di hadapan dengan gol ketiga pada minit ke-32 sebelum Riku Honda melebarkan jurang pada minit ke-41 dan Thailand akhirnya terpaksa akur selepas Shoji Toyama meledak gol kelima Jepun pada minit ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 6:10 PM